Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mahu ibu bapa, guru dan masyarakat melihat tragedi yang melibatkan dua remaja baru-baru ini sebagai panggilan untuk bertindak bersama-sama.

Menurutnya, menuding jari tidak akan menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, apa yang diperlukan adalah kasih sayang, keprihatinan dan tindakan bersama demi melindungi dan membimbing generasi muda negara.

“Tragedi yang berlaku membabitkan dua remaja baru-baru ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Di usia mereka yang sepatutnya dipenuhi kasih sayang, bimbingan dan peluang untuk berkembang, berlaku insiden yang meragut nyawa dan masa depan.

“Sebagai sebuah masyarakat, kita tidak boleh memandang tragedi ini sebagai kes terpencil. Ia mencerminkan cabaran nilai dan tekanan sosial yang sedang dihadapi oleh anak-anak kita hari ini — di rumah, di sekolah, dan juga di dunia digital yang tanpa sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bersetuju dengan kenyataan perdana menteri yang menekankan peranan media sosial dan keperluan tindakan tegas kerajaan.

Namun pada masa yang sama, kita juga harus mengimbangi ketegasan dengan empati — memahami bahawa punca kepada isu ini bukan hanya soal disiplin atau teknologi, tetapi juga soal bimbingan, komunikasi dan kasih dalam keluarga serta komuniti sekolah.

Jelas beliau, kementeriannya, percaya bahawa keluarga dan sekolah perlu bergerak seiring memandangkan anak-anak memerlukan kedua-dua institusi ini untuk
menjadi benteng kasih sayang dan panduan nilai mereka.

“Dengan cabaran baru yang dihadapi oleh ibu bapa dan kanak-kanak pada hari ini, kami di kementerian tidak akan berhenti untuk terus berusaha menambahbaik penyampaian perkhidmatan kami.

“Namun, kami tidak mampu untuk bergerak sendirian kerana menangani cabaran ini memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing— bukan sahaja memperkukuh dasar dan program, tetapi juga menyokong institusi keluarga dan komuniti melalui pendekatan yang lebih empatik,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast