Trak Polis membawa mangsa bunuh keluar untuk proses bedah siasat susulan insiden kes pelajar lelaki tingkatan dua menikam pelajar perempuan tingkatan empat di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya. Foto SADIQ SANI, 14 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Hati seorang ibu hancur luluh selepas kehilangan anak perempuan kesayangannya yang maut dalam tragedi tikaman di sebuah sekolah di Bandar Utama, semalam.

Dalam satu hantaran di Facebook, wanita berkenaan menggambarkan anaknya sebagai seorang gadis manis, berhemah tinggi dan penuh kasih sayang dan tidak pernah menimbulkan kerisauan kepada keluarga.

“Dia sentiasa bertimbang rasa, tidak pernah meminta apa-apa untuk dirinya sendiri. Kelembutan dan kematangannya membuatkan dia disayangi oleh semua yang mengenalinya,” tulis ibu itu dengan nada pilu.

Beliau menzahirkan rasa tidak tergambar apabila anak sebaik itu menemui nasib begitu tragik di tangan suspek lelaki berusia 14 tahun yang juga rakan sekolah mangsa.

“Dia anak yang begitu baik tapi mengapa takdirnya begitu kejam. Saya tiada kata… hati ini remuk dan tidak akan pulih,” luahnya.

Dalam coretan penuh emosi itu, si ibu turut menyampaikan harapan agar roh anaknya tenang dan bahagia di alam abadi.

“Ibu akan sentiasa sayang dan rindukan kamu, anakku,” katanya dalam penutup hantaran tersebut.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai atas doa dan sokongan yang diterima, serta memohon agar semua terus menitipkan doa buat roh anaknya.

Menurutnya, upacara penghormatan terakhir dan pengebumian akan diadakan pada Isnin depan manakala penghormatan bermula hari ini di Nirvana Kuala Lumpur bermula 3 petang ini.

Sementara itu, suspek berusia 14 tahun telah dikenakan perintah reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata, siasatan awal mendapati tindakan suspek dipercayai didorong oleh emosi tidak terkawal serta pengaruh media sosial. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast