KUALA LUMPUR – Adalah tidak adil untuk menyalahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas semua musibah mahu pun kejadian malang yang berlaku di dalam premis sekolah sejak kebelakangan ini termasuk kes bunuh kelmarin.
Timbalan Ketua Wanita Keadilan, Juwairiya Zulkifli berkata, memang pada dasarnya tugas Menteri Pendidikan adalah merangka dasar, polisi dan undang-undang berkaitan bagi semua perkara dibawah bidang kuasanya.
Namun, ujar beliau, musibah dan kemalangan boleh berlaku di mana-mana, justeru mencetuskan persoalan adakah wajar Menteri; guru dan ibu bapa dipersalahkan.
Menjelaskan lebih lanjut, katanya, terdapat beberapa faktor yang mungkin mendorong kepada pelbagai kejadian melibatkan pelajar di sekolah antaranya pengaruh media sosial dan permainan video.
Ujarnya, masyarakat kini berada dalam zaman telefon pintar menjadi keperluan yang mana kanak-kanak turut disediakan gajet itu oleh para ibu bapa bagi tujuan komunikasi dan keselamatan.
“Namun adakah para ibu bapa memantau penggunaan telefon pintar tersebut sepanjang masa? Apakah akaun media sosial mereka? Apakah games yang mereka minati?
“Adakah games tersebut selamat untuk pengguna di bawah umur? Peranan ibu bapa untuk memantau hal ini dan akta komunikasi multimedia harus diperketatkan,” katanya menerusi Facebook hari ini.
Selain itu, tambah Juwairiya, isu kesihatan mental remaja juga perlu dilihat yang mana masyarakat mungkin terlepas pandang bahawa kanak-kanak dan pelajar juga berdepan tekanan tersendiri apabila sedang menginjak dewasa.
“Remaja yang sedang mencari-cari identiti diri, sedang mencari kawan-kawan sebaya, bertungkus lumus memenuhi harapan guru dan ibu bapa untuk cemerlang, malah ditambah tekanan diri apabila berdepan dunia maya dan media sosial.
“Maka, dalam kes ini, sewajarnya dilihat latar belakang suspek dalam aspek psikososial dan kesihatan mentalnya juga agar faktor yang mendorong tindakan bunuh tersebut dapat diketahui,” katanya.
Dalam masa sama masyarakat juga tidak mengetahui apa yang dilalui suspek di rumah atau di sekelilingnya sejak kecil sehingga ke alam persekolahan.
Malah, ujarnya, masyarakat juga tidak mengetahui bagaimana didikan atau pembawaan keluarga yang mungkin membuatkan suspek mengalami tekanan atau kemurungan atau tidak bersosial.
“Saya percaya banyak yang suspek pendam sehingga tindakan kejam ini berlaku. Kita sebagai masyarakat juga jangan pantas untuk menyalahkan sesiapa, kerana sudah pasti tiada ibu bapa yang ‘mengajar’ anak-anak mereka untuk menjadi penjenayah atau berlaku zalim terhadap orang lain,” katanya.
Sementara itu, Juwairiya menggesa semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan sepenuhnya berhubung kejadian bunuh melibatkan pelajar kelmarin.
Dalam masa sama dasar-dasar berkaitan keselamatan kanak-kanak, pelajar di sekolah serta Akta Multimedia dan Komunikasi juga harus diperketatkan dan dipinda bagi menjamin masa depan anak-anak dalam persekitaran selamat, positif dan sejahtera. – MalaysiaGazette
















