Setiausaha URIMAI, Satees Muniandy

KUALA LUMPUR – Setiausaha Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), M. Satees mempersoalkan sama ada mereka yang terlibat dalam isu pemalsuan dokumen pemain naturalisasi kebal daripada tindakan undang-undang.

Katanya, ia memandangkan beliau dimaklumkan pihak polis semalam yang mana laporan yang dibuatnya minggu lalu bersabit kes itu tidak akan disiasat kerana tiada unsur jenayah.

Dakwanya, polis juga memaklumkan bahawa pemerolehan kewarganegaraan oleh tujuh orang pemain Harimau Malaya melalui dokumen palsu yang didedahkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas siasatan menyeluruh dianggap bukan jenayah.

“Adakah keputusan polis ini dibuat atas arahan sesiapa? Saya tidak tahu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Satees, beliau juga tidak pernah dirakam percakapan oleh polis seperti mana lazimnya dilakukan terhadap pengadu satu-satu kes.

“Adakah kes ini begitu remeh sehingga tidak wajar disiasat?” katanya lagi.

Menurut Satees, beliau membuat laporan polis bersabit kes itu berdasarkan hasil siasatan FIFA dan juga pengakuan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri yang menyatakan bahawa kewarganegaraan tujuh pemain berkenaan diluluskan berdasarkan dokumen yang mereka kemukakan.

Namun, pihak polis tidak menunjukkan sebarang minat untuk menyiasat dan terus mengklasifikasikan kes ini sebagai tiada jenayah.

“Siapa atau apa yang mendorong keputusan polis ini, saya tidak tahu,” katanya.

Tambah beliau, keputusan itu seolah-olah memperlihatkan kesalahan derhaka dan khianat kepada negara tidak lagi dianggap salah apabila mereka yang berkuasa sudah membuat keputusan itu.

“Apalah daya saya sebagai rakyat biasa yang hanya ingin melihat mereka yang mengkhianati amanah negara dibawa ke muka pengadilan apabila penguat kuasa undang-undang sendiri enggan bertindak.

Beliau turut mengepilkan bersama keputusan laporan polis tersebut dalam kenyataannya, yang mana pihak polis menyarankan Satees mengambil tindakan lain contohnya tindakan sivil, merujuk kepada syarikat insurans atau merujuk kepada jabatan lain. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast