JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang lelaki atas pertuduhan menyimbah cat merah di sebuah salun dalam sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu lalu.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas tertuduh, Ahmad Abu Bakar, 26, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.
Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama-sama seorang lagi rakannya yang masih bebas dengan cara membaling plastik berisi cat berwarna merah ke dalam salun berkenaan.
Kejadian tersebut telah menyebabkan cat merah mengenai perabot serta seorang pelanggan yang berada di dalam salun berkenaan.
Kesalahan dilakukan pukul 11.50 pagi pada 11 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara satu hingga lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nur Fatihah Mohd Nizam sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh kemudiannya memohon agar hukuman terhadapnya dikurangkan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menanggung ibu bapa yang uzur.
Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman denda RM5,000 dan 12 bulan penjara jika gagal membayar denda.
Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, sebuah salun di pusat beli-belah di sini mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas disimbah cat merah.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja premis berkenaan, yang juga lelaki tempatan berusia 22 tahun pada pukul 1.33 tengah hari pada hari sama.
Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 11.50 pagi ketika pengadu yang sedang bekerja secara tiba-tiba didatangi dua suspek yang kemudiannya membaling plastik berisi cat merah ke dalam premis berkenaan. – MalaysiaGazette
















