JOHOR BAHRU – Kerajaan dicadang menubuhkan Pasukan Khas Keselamatan Pelajar melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menilai semula tahap keselamatan sekolah di seluruh negara.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, antara langkah segera yang perlu diambil termasuk audit keselamatan menyeluruh di semua sekolah, penambahan unit kaunseling, memperketat prosedur operasi standard (SOP) penggunaan telefon bimbit serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko.
“Menteri tidak patut terus dipersalahkan tanpa bukti kecuaian, tetapi beliau mesti menunjukkan kepimpinan tegas dan tindakan pantas.
“Rakyat tidak mahu alasan, mereka mahu melihat tindakan nyata untuk mencegah tragedi seterusnya,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, tindakan menuding jari dan mendesak menteri meletak jawatan setiap kali berlaku kes jenayah seksual, buli dan keganasan di sekolah dianggap tidak adil.
Sebaliknya ujar beliau, tumpuan perlu diberi terhadap pembaikan sistem secara menyeluruh.
Jelasnya, menteri dan kerajaan memang mempunyai tanggungjawab moral untuk menjamin keselamatan pelajar, namun peletakan jawatan tidak seharusnya dijadikan jalan keluar utama kecuali jika terbukti berlaku kecuaian secara langsung.
“Apa yang lebih penting ialah tindakan segera dan pelan pembetulan, bukan sekadar mencari salah siapa.
“Dalam isu keselamatan pelajar, yang diperlukan bukan pengunduran seseorang, tetapi pembaikan sistem secara menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, isu jenayah seksual, buli dan keganasan di sekolah bukan perkara baharu, tetapi kini lebih banyak didedahkan akibat kewujudan media sosial dan telefon pintar dalam kalangan pelajar.
“Kaji punca sebenar kejadian tersebut lebih mendalam, termasuk kelemahan sistem disiplin dan penguatkuasaan, pengaruh bahan lucah, kekurangan bimbingan moral, pegawai kaunseling terlatih serta ketiadaan sistem pemantauan CCTV yang mencukupi,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















