KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berjanji akan memperjuangkan keadilan buat mendiang Yap Shing Xuen dan keluarganya yang menjadi mangsa bunuh dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Damansara, Selasa lalu.
Menurut Nurul Izzah, sebagai seorang ibu yang juga pernah merasai kehilangan anak, beliau dapat merasakan kepedihan duka itu yang tiada pengganti.
“Walaupun tiada apa yang dapat mengubati luka kehilangan, saya berdoa semoga kebenaran yang akan dibongkar dapat menjadi sebuah pelukan, sedikit sebanyak mengubati hati yang sedang terluka,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, Nurul Izzah hari ini menziarahi keluarga mendiang Shing Xuen bagi menyampaikan ucapan takziah beliau dan juga bagi pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta seluruh warga Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurut beliau, pemergian Shing Xuen bukan sekadar suatu tragedi, tetapi biarlah menjadi panggilan buat semua agar lebih peka, lebih mendengar dan lebih memahami dunia anak-anak.
Ujarnya, nama Shing Xuen tidak sepatutnya terpapar di muka depan akhbar dengan cara yang dilalui mendiang.
“Daripada kes arwah Zara Qistina, kepada kes rogol yang mencemaskan, mangsa dan pelaku semuanya adalah kanak-kanak.
“Jelas sekali hal ini menuntut perubahan secara drastik dan holistik sebelum lebih ramai anak-anak menjadi mangsa,” katanya.
Pada Selasa lalu, negara dikejutkan dengan laporan kematian seorang pelajar perempuan yang dipercayai ditikam beberapa kali oleh rakan sekolahnya, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi berhampiran kawasan tandas perempuan, di luar bilik darjah.
Pihak polis telah merampas dua bilah senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut dan siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa tikaman pada bahagian badan. – MalaysiaGazette
















