GEORGE TOWN – Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak cedera di kepala selepas disamun ketika pulang dari menunaikan solat Subuh berhampiran rumahnya di Taman Pekaka, Sungai Dua, di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, beliau dipercayai dihentak dengan objek menyerupai pistol sebelum suspek melarikan diri.
Akibat serangan itu, beliau yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima 15 jahitan di bahagian kepala.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Universiti Utara Malaysia (UUM), beliau diserang ketika berjalan pulang dalam kawasan perumahan tersebut.
Sementara itu, keluarga Dzulkifli dalam kenyataan yang dikongsi UUM mengesahkan beliau berada dalam keadaan stabil dan selamat selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Alhamdulillah, beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di HPP dan disahkan sihat oleh doktor.
“Laporan polis juga telah dibuat berhubung kes ini dan kami akan memaklumkan perkembangan selanjutnya selepas siasatan polis selesai, bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” menurut kenyataan itu.
UUM turut menyatakan rasa simpati dan mendoakan kesembuhan segera untuk tokoh akademik berkenaan.
Setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak polis berhubung insiden berkenaan. – MalaysiaGazette















