Benjamin Netanyahu. Photo AFP

The Hague, Belanda – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada hari Jumaat menolak permohonan rayuan Israel terhadap waran tangkap yang dikeluarkan ke atas Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, berhubung perang di Gaza.

Dalam keputusan yang menjadi tajuk utama di seluruh dunia, ICC pada November lalu mendapati terdapat “asas munasabah” untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant memikul “tanggungjawab jenayah” atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga pemimpin tertinggi gerakan pejuang Palestin, Hamas, namun waran itu digugurkan selepas kematian mereka.

Waran terhadap Netanyahu dan Gallant mencetuskan kemarahan di Israel serta di Amerika Syarikat, yang kemudiannya mengenakan sekatan terhadap pegawai kanan ICC.

Netanyahu menyifatkan keputusan itu sebagai “anti-Semitik”, manakala Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Joe Biden, mengecamnya sebagai “tidak masuk akal”.

Israel pada Mei lalu, memohon kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut sementara ia menilai cabaran berasingan berhubung bidang kuasa ICC dalam kes itu.

Namun, pada 16 Julai, mahkamah menolak permohonan itu dengan menyatakan  “tiada asas undang-undang” untuk membatalkan waran sementara cabaran bidang kuasa masih dipertimbangkan.

Seminggu kemudian, Israel memohon kebenaran untuk merayu keputusan tersebut, tetapi para hakim pada Jumaat memutuskan “isu yang dibangkitkan oleh Israel bukanlah isu yang boleh dirayu.”

“Oleh itu, mahkamah menolak permohonan tersebut,” kata ICC dalam keputusan setebal 13 halaman itu.

Hakim-hakim ICC masih mempertimbangkan cabaran lebih luas ke atas Israel berhubung bidang kuasa mahkamah tersebut.

Apabila mahkamah pada asalnya mengeluarkan waran tangkap pada November, ia turut menolak rayuan Israel terhadap bidang kuasanya.

Namun pada April, Dewan Rayuan ICC memutuskan Dewan Praperbicaraan (Pre-Trial Chamber) telah tersilap menolak cabaran itu dan mengarahkan agar hujah Israel diteliti semula dengan lebih terperinci.

Buat masa ini, belum jelas bila keputusan muktamad mengenai isu bidang kuasa itu akan diumumkan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast