KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam menolak permohonan Wong Jit Kiang (Daniel Wong) untuk menggugurkan pertuduhan bersubahat terhadapnya berhubung dakwaan penipuan sekuriti.
Wong didakwa bersubahat dengan mendiang Toh Chun Toh Gordon (Toh) dalam menipu syarikat Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad (Multi-Code) melibatkan jumlah sebanyak RM17.6 juta pada tahun 2007.
Toh ketika itu merupakan Pengarah Urusan Multi-Code.
Hakim Muniandy a/l Kannyappan menolak permohonan Wong dan memutuskan pertuduhan terhadapnya adalah sah dan tidak cacat.
Pada 9 Mei 2024, Daniel Wong telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan satu pertuduhan di bawah seksyen 122C(c) dibaca bersama seksyen 87A(b) Akta Industri Sekuriti 1983 (SIA) kerana bersubahat dengan Toh menggunakan dana Multi-Code berjumlah RM17.5 juta antara 26 hingga 28 Mac 2007 bagi membiayai pembelian lebih 11 juta saham Multi-Code oleh Ace Prelude Sdn. Bhd.
Jika disabitkan kesalahan, Wong berdepan denda tidak kurang RM1 juta dan penjara sehingga 10 tahun.
Sebelum ditangkap pada 8 Mei 2024, Wong telah melarikan diri selama 15 tahun walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk mengesannya.
Mahkamah telah mengeluarkan dua waran tangkap terhadapnya masing-masing pada tahun 2009 dan 2019.
Dalam permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan, Wong berhujah, pertuduhan itu tidak sah kerana Toh, pesalah utama, tidak pernah disabitkan kesalahan utama di bawah seksyen 87A(b) Akta Industri Sekuriti atas kesalahan menipu Multi-Code.
Sebaliknya, Toh telah disabitkan dengan pertuduhan alternatif di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah jenayah (CBT). Toh meninggal dunia pada 27 Ogos 2012 semasa rayuannya terhadap sabitan tersebut masih berjalan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, SC berhujah, walaupun Toh tidak disabitkan di bawah Akta Industri Sekuriti, pertuduhan bersubahat terhadap Wong masih kekal sah mengikut seksyen 122C(c) dibaca bersama seksyen 87A(b) akta tersebut.
Mahkamah Tinggi bersetuju dengan hujahan SC dan memutuskan bahawa kesalahan bersubahat adalah berbeza daripada kesalahan utama yang dilakukan oleh pesalah asal, maka pertuduhan terhadap Wong tetap sah walaupun Toh tidak disabitkan di bawah seksyen 87A(b) SIA.
Mahkamah turut menegaskan bukan peranan mahkamah pada peringkat ini untuk menilai semula pertuduhan, dan langkah untuk mengetepikan pertuduhan adalah terlalu awal.
Oleh itu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Wong dan mengarahkan perbicaraan diteruskan di Mahkamah Sesyen seperti dijadualkan.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya SC, Hashley Tajudin, serta pegawai pendakwa Mohd Shafiq Azman, Raihana Nadhira Rafidi, dan Caysseny Tean Boonsiri, manakala Daniel Wong diwakili oleh peguam Datuk Hariharan Tara Singh dan Tan Eng Seng. – MalaysiaGazette
















