Asiyah Mohamed Ashraf

KUALA LUMPUR – Pelajar tahun akhir Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya (UM), Asiyah Mohamed Ashraf memperkenalkan BIOSENSE-NS1, sebuah peranti inovatif yang direka untuk pengesanan jangkitan denggi yang pantas.

Projek penyelidikan tahun akhir itu bertajuk ‘Nanocomposite-Based Electrochemical Biosensor for NS1 Dengue Virus Detection’ dibentangkan semasa  Simposium Akademik Bersama UM-NUS 2025 baru-baru ini sempena Kejohanan Golf Tunku Canselor UM-NUS kali ke-54.

Simposium ini menandakan lebih enam dekad kerjasama akademik antara Universiti Malaya (UM) dan Universiti Nasional Singapura (NUS), diserikan dengan kehadiran Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, bersama Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, yang juga merupakan Canselor NUS.

Asiyah pelajar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya pernah dipilih sebagai salah satu daripada lima projek penyelidikan tahun akhir terbaik di seluruh UM, di dalam persidangan UM UG iFEST 2025 yang melihat penyertaan dari semua pelajar tahun akhir di kampus pada bulan Jun yang lalu.

Projek ini juga menerima dana daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kerajaan Malaysia di bawah Geran Translasi (MO001-2024) bertajuk “A New Approach of Decision Support System for Monitoring Risk in Dengue Patients Using Bioimpedance Vector Analysis (BIVA) Technique,” mencerminkan kecemerlangan penyelidikan dan potensi aplikasinya dalam penjagaan kesihatan dunia nyata.

BIOSENSE-NS1 hanya memerlukan setitis darah yang diletakkan pada elektrod. Dengan menekan satu butang, ia mengesan protein NS1, iaitu penanda biologi yang wujud semasa peringkat awal jangkitan denggi.

Keputusan ujian tersedia dalam masa 30 minit, menjadikannya 144 kali lebih pantas berbanding kaedah konvensional seperti PCR.

Peranti ini juga sangat berpatutan, dengan jangkaan harga kosnya hanya RM5 setiap ujian.

Ini adalah 18 kali lebih murah daripada kos ujian PCR dan tujuh kali lebih murah daripada kit ujian pantas sedia ada kerana sifatnya yang mudah alih, tepat, dan kos rendah.

Malah, peranti ini menjanjikan potensi besar untuk klinik luar bandar dan persekitaran penjagaan kesihatan yang yang menghadapi kekangan sumber dana.

“BIOSENSE-NS1 direka dengan mengambil kira kebolehcapaian untuk menjadikan pengesanan awal denggi lebih pantas, lebih murah dan lebih tersedia kepada semua
komuniti. Ini adalah satu langkah ke arah teknologi penjagaan kesihatan menyelamatkan nyawa yang lebih adil dan saksama,” kata Asiyah.

Profesor Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, yang menyelia tersebut memuji usaha dan dedikasi pelajarnya berkata, usaha Asiyah menunjukkan bagaimana kejuruteraan dan inovasi boleh digabungkan untuk mencipta penyelesaian yang berpatutan bagi isu penjagaan kesihatan yang mendesak seperti denggi.

Penyertaan Asiyah bukan sahaja mempamerkan semangat inovatif UM tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memupuk bakat muda yang
merapatkan jurang antara penyelidikan dan impak dunia nyata.

Projek BIOSENSE-NS1, membuktikan bagaimana inovasi yang didorong oleh rasa empati dan kecemerlangan saintifik boleh membawa kepada perubahan transformative. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast