Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit

MELAKA – Polis sedang mencari saksi bagi membantu siasatan kes seorang remaja perempuan cedera dipercayai dilibas parang ketika membonceng motosikal di Jalan Tangga Batu, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian menimpa mangsa berusia 18 tahun berlaku kira-kira jam 4.45 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9, Tangga Batu, Tanjung Kling.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali lelaki yang menyerangnya malah mendakwa tidak mempunyai musuh atau perselisihan faham dengan mana-mana individu.

“Mangsa yang kini dirawat di Zon Kuning Hospital Melaka turut memberitahu tidak mempunyai sebarang kenalan di Melaka kerana baru tiga minggu berpindah dari Tangkak untuk bekerja sebagai operator kilang di sini.

“Sehubungan itu, polis menyeru orang awam yang berada di lokasi kejadian atau mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-26383960,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Christopher berkata, sebelum kejadian, mangsa membonceng motosikal ditunggang kakak iparnya berusia 21 tahun sebelum remaja itu tiba-tiba berasa sakit di bahagian belakang dan meminta untuk berhenti di tepi jalan.

“Pada masa sama, kakak ipar mangsa perasan ada sebuah motosikal jenis Yamaha LC V8 warna biru gelap ditunggang seorang lelaki memakai jaket warna gelap dan topi keledar jenis MS warna biru telah memecut laju.

“Sehubungan itu, polis menyeru orang awam yang berada di lokasi kejadian atau mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut supaya tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau alat berbahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast