South Korea flag

SEOUL – Korea Selatan dan Malaysia pada Selasa menandatangani perjanjian untuk saling mengiktiraf pensijilan kelayakan terbang atau “airworthiness certification” bagi pesawat tentera masing-masing, menurut agensi perolehan pertahanan negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Perjanjian itu merupakan yang pertama seumpamanya antara Korea Selatan dengan negara Asia.

Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan mengiktiraf pensijilan kelayakan terbang pesawat tentera buatan tempatan masing-masing, menurut Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA).

Pensijilan itu merupakan ukuran penting bagi menentukan kesesuaian sesuatu pesawat untuk penerbangan selamat.

Korea Selatan akan melaksanakan pensijilan bagi 18 pesawat pejuang ringan FA-50 yang akan dibekalkan kepada Malaysia, menurut agensi itu lagi.

“Menerusi perjanjian pengiktirafan bersama ini, kami menjangkakan eksport pesawat buatan tempatan ke negara-negara Asia dapat diperluas, selain memperkukuh kemajuan industri penerbangan domestik melalui kerjasama industri pertahanan,” kata Menteri DAPA Seok Jong-gun.

DAPA memaklumkan bahawa agensi itu bercadang menandatangani lebih banyak perjanjian seumpama ini dengan negara-negara di Eropah, Asia serta Amerika Tengah dan Selatan.

Dengan termeterainya perjanjian terbaharu ini, Korea Selatan kini mempunyai lapan perjanjian pengiktirafan bersama, termasuk dengan Amerika Syarikat, Poland dan Sepanyol. – BERNAMA-YONHAP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast