Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Fadil Marsus dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menumpaskan dua sindiket memproses dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang yang menjadikan unit kondominium sebagai makmal pemprosesan bahan terlarang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kejayaan itu hasil enam siri serbuan dijalankan antara 14 hingga 17 Oktober lalu hasil risikan berterusan polis terhadap kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Operasi tersebut berjaya menahan tiga lelaki tempatan dan tiga wanita warga asing berusia antara 33 hingga 61 tahun, selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM3.5 juta.

“Dalam serbuan pertama di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Maluri, Cheras, pihak polis menahan seorang lelaki tempatan yang menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi.

“Pemeriksaan menemukan 1,000 paket plastik disyaki mengandungi serbuk MDMA seberat 18.31 kilogram.

“Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan di Pandan Perdana, Ampang Jaya dan hasil maklumat membawa kepada penahanan seorang wanita warga asing di sebuah rumah di kawasan sama.

“Pemeriksaan lanjut menemui serbuk MDMA, pil Erimin 5, Ketamine serta pil ecstasy,” katanya dalam sidang media di IPK Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, serbuan berikutnya di beberapa unit kondominium sekitar Pandan Perdana menemui ratusan kilogram serbuk MDMA dan pelbagai peralatan digunakan untuk memproses dadah tersebut.

Sementara itu, dalam serbuan keenam di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Imbi, Kuala Lumpur, polis menahan seorang lelaki tempatan bersama 38.71 kilogram bunga ganja yang disembunyikan dalam bonet keretanya.

Secara keseluruhan, rampasan melibatkan 462.77 kilogram serbuk MDMA, 195 gram pil Erimin 5, 52.81 gram pil Ecstasy, 32.78 gram Ketamine dan 38.71 kilogram ganja, yang dianggarkan mampu menjejaskan lebih 1.72 juta pengguna.

“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kondominium sebagai stor penyimpanan dan makmal memproses dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

“Mereka juga menggunakan kawasan parkir pasar raya sebagai lokasi transaksi,” tambahnya.

Siasatan juga mendapati dua sindiket berkenaan mula aktif sejak Februari dan September 2025, masing-masing terlibat dalam pengedaran dadah jenis MDMA dan ganja di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” jelasnya.

Dalam operasi sama, polis turut menyita harta bernilai kira-kira RM41,000 milik suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk wang tunai, barang kemas dan jam tangan mewah.

Fadil menegaskan, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah dan menyeru masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast