JOHOR BAHRU – Tuduhan bahawa terdapat agen Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya cubaan mengaburi pergolakan dalaman parti itu.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Mohd Fakharuddin Moslim berkata, perdana menteri tidak memerlukan agen untuk memecahbelahkan Bersatu.
“Itu cuma sekadar tuduhan untuk kelabui pergolakan dalaman kamu. Cukup sekadar kamu ada (Datuk Seri) Azmin (Ali), ada (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, ada Datuk Seri Hamzah Zainudin dan ada Pas.
“Insya-Allah kamu akan terus berbalah. Kem Muhyiddin lawan Kem Hamzah. Hamzah disokong Pas dan majoriti ketua bahagian Bersatu dan Muhyiddin hanya disokong Azmin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa Azmin gunakan kuasanya sebagai Setiausaha Agung Bersatu untuk gantung dan pecat ahli yang cuba menjatuhkan Muhyiddin.
Katanya, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal adalah antara mangsanya yang digantung satu penggal dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pula dipecat.
Menariknya katanya beliau, kesimpulan dibuat Wan Ahmad Fayhsal bahawa semua itu adalah kerja agen Anwar untuk pecah belah Bersatu.
“Wan Ahmad Fayhsal mungkin lupa, Bersatu adalah parti pengumpulan para pengkhianat atau pelompat politik. Lompat daripada PKR, lompat daripada UMNO.
“Melompat kerana nak jaga kepentingan masing-masing dan bekerjasama pula dengan Pas yang merasakan dia ialah parti paling besar,” katanya.
Dakwa beliau lagi, Pakatan Harapan (PH) ada pengalaman bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan.
Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini memecat keahlian Wan Saiful serta menggantung keahlian Wan Ahmad Fayhsal selama satu penggal berhubung isu Akaun Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu.
Lembaga disiplin itu memaklumkan tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti.
Empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.
Bagaimanapun mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.- MalaysiaGazette
















