Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah pikap di persimpangan lampu isyarat Jalan Sutera Danga, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kemalangan berlaku pukul 2.23 pagi melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza dan sebuah pikap WTM T60.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta dipandu lelaki tempatan berusia 65 tahun dari arah Bukit Indah menuju ke Jalan Persiaran Sutera Danga 1.

“Ketika membelok ke kanan di lampu isyarat, keretanya dirempuh pikap yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 35 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, akibat pelanggaran itu, pikap berkenaan berpusing dan terbabas lalu melanggar sebatang tiang lampu serta pembahagi jalan arah ke Bukit Indah.

Tambah Balveer Singh, pemandu kereta itu cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara pemandu wanita pikap tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Azlina Abdul Raof di talian 013-2864878 bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast