JOHOR BAHRU – Sebanyak 11 rumah setinggan di Kampung Cina, Kebuh Teh di sini sudah dirobohkan pada 15 Oktober lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkata, itu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk mencapai ‘sifar setinggan’ di Johor.
Jelasnya, selain itu tindakan itu dilakukan atas faktor penempatan tersebut turut dihuni pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas mendapat maklumat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri.
“Tanah kawasan ini adalah milik kerajaan negeri yang dipertanggjungjwabkan kepada Persatuan Tiong Hua Daerah Johor Bahru untuk dikawal selia.
“Tanah kerajaan negeri ini juga dirizabkan sebagai kubur cina dan rizab malaria pada 1946,” katanya ditemui ketika melakukan tinjauan di kawasan setinggan itu, hari ini.
Tinjauan tersebut turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.
Mohd Hairi berkata, menerusi usaha itu kerajaan negeri melakukan pengstrukturan semula selaras dengan pembangunan yang diusahakan di kawasan bandar.
“Namun, kita tidak mahu menafikan penduduk asal di kawasan ini yang sudah tinggal lebih 60 tahun di sini.
“Tetapi, tular video bahawa penempatan di sini didiami PATI dan JIM beritahu lebih 100 orang ditangkap di sini, mereka salah gunakan tanah kerajaan ini,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak mahu kawasan di sekeliling pesat membangun tetapi di tengah bandar rayanya ada penempatan PATI.
Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri berkata, terdapat 36 lagi kediaman di kawasan setinggan itu bakal dirobohkan, bagaimanapun mendapat aduan penduduk notis diberikan terlalu singkat.
Justeru katanya, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan notis mengosongkan rumah daripada dua minggu kepada 30 hari.
“Sebelum ini, Pejabat Tanah Daerah (PTD) Johor Bahru sudah membuat bancian dan mengenal pasti kediaman yang akan dirobohkan dan notis sudah dikeluarkan.
“Namun, mereka kata notis kosongkan rumah itu terlalu pendek, maka mereka minta lanjutkan selama 30 hari. Jadi, 11 rumah yang sudah dirobohkan itu hanya rumah yang kosong dan juga rumah didiami PATI.
“Bagi, rumah yang lain, kita setuju untuk beri masa lagi selama 30 hari. Dalam tempoh ini, kita akan bantu mereka dapatkan rumah, sama ada membuat permohonan mendapatkan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) atau menyewa rumah lain atau berpindah ke rumah keluarga,” jelasnya.
Difahamkan sebanyak 1,422 rumah di beberapa kawasan setinggan di sini sudah dikenal pasti antaranya di Kampung Melayu Majidee membabitkan 790 rumah, Taman Sinaran Kempas (336), Larkin (180) dan Kebun Teh (116).- MalaysiaGazette
















