Jay January.

NIBONG TEBAL – Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang melanggar seorang pejalan kaki wanita hingga maut dalam kejadian di Jalan Besar Simpang Ampat, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.35 malam ketika mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari arah Taman Belibis menuju ke Simpang Ampat sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti mangsa.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, polis turut melakukan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi mengesan kenderaan serta saksi bebas.

“Kita mohon orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk  menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Al-Bukhari Ishak di talian 013 582 2366 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast