KLUANG – Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki di tepi Jalan Raja Udang, Taman Sam Hoe di sini tengah malam tadi akhirnya membongkar kegiatan pengedaran dadah.
Serbuan terhadap lelaki tersebut dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 12.10 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki warga tempatan berusia 29 tahun itu ditahan bersama-sama 1,090 gram dadah dipercayai jenis serbuk ekstasi selepas diperiksa.
“Sebanyak 20 peket plastik berwarna hitam disyaki dadah tersebut ditemui hasil pemeriksaan dalam satu beg berzip warna hitam.
“Turut disita wang tunai sebanyak RM200. Keseluruhan nilai dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM12,250,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapatinya positif dadah jenis methaphetamin.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana menghisap dadah.
Pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk menghubungi IPD Kluang 07-7784222; direct line07-7784256; hotline 07-7766822 atau tablet DCC 014-365682.- MalaysiaGazette
















