Dr. Wee Jeck Seng

KUALA LUMPUR – MCA mencadangkan supaya bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilibatkan dalam menerapkan nilai disiplin, patriotisme dan motivasi pelajar susulan pelbagai kejadian melibatkan soal keselamatan di sekolah kebelakangan ini.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, bekas anggota ATM itu juga boleh memantau aktiviti, trend sosial dan perubahan tingkah laku pelajar secara lebih berkesan.

Selain itu, jelasnya, pesara ATM juga boleh diberi peluang untuk mengadakan ceramah atau sesi motivasi sekurang-kurangnya sekali seminggu, mengikut keperluan dan jadual sekolah.

Terdahulu, ujarnya, meskipun langkah rondaan dengan kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) daripada polis dilihat baik, namun ia mungkin sukar disepadukan dalam ekosistem sekolah.

“Ini memandangkan polis mempunyai tugas hakiki masing-masing yang memerlukan perhatian dan tenaga sepenuhnya, menyebabkan rondaan mereka sering kali tidak tetap dan komunikasi dengan pihak sekolah tidak konsisten,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, polis akan meningkatkan rondaan dan kehadiran anggota di kawasan sekolah sebagai langkah menyokong dasar keselamatan digital pelajar yang diperkenalkan kerajaan.

Beliau berkata, fokus turut diberikan kepada pengukuhan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan kempen kesedaran keselamatan digital bersama Kementerian Pendidikan (KPM) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Selain itu, tambah Jeck Seng, aspek keselamatan di sekolah perlu digabungkan dengan pendekatan kaunseling dan pencegahan.

Jelasnya, isu keselamatan bukan sekadar aspek fizikal, tetapi juga kesejahteraan emosi, pembanterasan buli, gengsterisme, penyalahgunaan dadah serta ancaman siber.

“Sebagai permulaan, projek rintis boleh diadakan di sekolah berisiko tinggi untuk menentukan kadar rondaan, kuota kaunselor, dan bentuk intervensi sesuai.

“Hasilnya perlu diterbitkan secara telus, dan guru-guru perlu dilatih mengenal pasti tekanan emosi pelajar lebih awal,” katanya.

Bagaimanapun, tegas beliau, semua cadangan itu tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang tegas dan menyeluruh.

Katanya, rakyat tidak mahu mendengar alasan, tetapi mahu melihat tindakan nyata.

“Sekolah harus kembali menjadi zon selamat, tempat belajar, membina sahsiah, kepimpinan dan keyakinan anak bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast