KUALA LUMPUR – Seramai 32 ahli sebuah koperasi terkenal mendakwa kerugian lebih RM2.4 juta selepas terlibat dalam beberapa skim pelaburan yang disyaki tidak wujud.
Mereka tampil hari ini bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bagi menyerahkan aduan rasmi kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), selepas menerima maklum balas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa laporan mereka telah dirujuk kepada agensi berkenaan.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima rungutan daripada ahli-ahli koperasi terbabit yang mengesyaki berlaku salah guna wang pelaburan oleh individu tidak bertanggungjawab dalam pengurusan koperasi tersebut.
“Antara program yang ditawarkan kepada ahli ialah pelaburan mesin sejuk beku, papan iklan dan simpanan emas.
“Namun hasil semakan mendapati pelaburan-pelaburan ini dipercayai tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kesemua pengadu merupakan ahli berdaftar koperasi berkenaan kerana pelaburan tersebut hanya ditawarkan secara eksklusif kepada ahli.
“Kebanyakan mereka ini adalah rakyat marhaen yang dijanjikan pulangan lumayan, namun akhirnya bukan sahaja tidak menerima keuntungan malah modal pelaburan mereka turut lesap,” tambahnya.
Difahamkan, aduan telah dibuat kepada pihak polis sejak penghujung 2023 selepas para pelabur menyedari ditipu oleh skim pelaburan itu.
Pada Ogos lalu, peguam yang mewakili mereka menerima maklum balas rasmi daripada PDRM bahawa kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘Rujuk Lain Agensi’ kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
Sehubungan itu, pengadu meminta agar SKM segera menjalankan siasatan menyeluruh di bawah Akta Koperasi 1993, bagi memastikan ketelusan dan keadilan kepada semua ahli yang terjejas.
Hishamuddin berharap SKM dapat mengambil tindakan tegas sekiranya wujud sebarang penyelewengan, salah laku atau pelanggaran undang-undang oleh pengurusan koperasi berkenaan. – MalaysiaGazette















