Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan menyokong pertemuan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Quddus, PPAM Saderi, Presint 16, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menyampaikan suara rakyat dengan jelas menolak dasar luar Amerika Syarikat (AS) berkaitan pendudukan haram Israel di Palestin dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada 26 Oktober ini.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, Anwar perlu menyatakan ketegasan Malaysia kepada Presiden AS, Donald Trump tentang penyalahgunaan kuasa veto di sebalik kezaliman Rejim Zionis itu.

“Kami menyokong sepenuhnya pendirian tegas Perdana Menteri di mana laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak boleh dihalang, pembangunan semula wilayah tersebut perlu dilaksanakan segera.

“Rakyat Palestin berhak untuk menikmati kemerdekaan serta maruah sebagai sebuah negara berdaulat mesti terus dipertahankan.

“Malaysia wajar menegaskan keperluan reformasi terhadap sistem antarabangsa yang tidak adil termasuk kuasa veto yang sering disalahgunakan untuk menutup jenayah kemanusiaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Ahmad Fahmi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Quddus, Presint 16, di sini tengah hari tadi.

Memorandum itu antara lain menyokong kepimpinan dan usaha Perdana Menteri dalam membawa suara Malaysia di pentas antarabangsa, khususnya semasa pertemuan rasmi dengan Presiden AS bersempena Persidangan US-ASEAN.

Ahmad Fahmi berkata, ABIM bersama 16 badan bukan kerajaan (NGO) mengiktiraf dan menyokong peranan aktif Perdana Menteri sebagai antara pemimpin dunia yang lantang memperjuangkan keamanan dan keadilan global.

“Malaysia perlu terus menjadi jambatan dialog dan diplomasi antara dunia Islam, Global South dan kuasa besar antarabangsa, berteraskan nilai kemanusiaan sejagat.

“Dalam suasana dunia yang kian sarat dengan konflik, populisme, dan ketegangan geopolitik, kepimpinan Malaysia berani, berprinsip dan berpaksikan nilai kemanusiaan amat diperlukan bagi memulihkan kepercayaan serta kerjasama antarabangsa.

“Tradisi diplomasi Malaysia yang sederhana, terbuka dan berwibawa mesti terus diperkasa, berpaksikan nilai Malaysia MADANI yang menolak politik kebencian dan kekerasan, serta menjulang suara keadilan, perdamaian dan solidariti antarabangsa,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Fahmi, gabungan NGO itu juga menyokong langkah Perdana Menteri memanfaatkan peluang Persidangan AS-ASEAN untuk menegaskan kedudukan Malaysia sebagai Pusat Keamanan dan Dialog Serantau.

“Ia berperanan sebagai jambatan antara dunia Barat dan Timur serta antara kuasa besar dengan negara-negara membangun di Asia Tenggara.

“Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif sebagai mediator dan fasilitator yang dipercayai dalam isu-isu serantau seperti Laut China Selatan, Myanmar dan konflik global yang memberi kesan kepada rantau ini.

“Pendekatan diplomasi berprinsip dan berteraskan nilai Wasatiyyah harus terus menjadi tunjang kepada dasar luar Malaysia, bagi memastikan ASEAN kekal sebagai zon aman dan bebas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast