JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor mendesak satu siasatan secara bebas dan telus dijalankan berhubung kes anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu, 19 September lalu.

Ketua Penerangan Pejuang Johor, Suraya Sulaiman berkata, tujuannya bagi mengenal pasti kelemahan komunikasi atau pelanggaran prosedur yang berlaku.

“Kita juga mendesak satu prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan untuk mengawal selia semua bentuk latihan taktikal di kawasan awam, terutama melibatkan institusi keagamaan.

“Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga digesa bekerjasama memperkukuh garis panduan antara agensi keselamatan dan pihak berkuasa agama bagi memastikan sensitiviti umat Islam dihormati.

“Kerajaan perlu memberi jaminan bertulis kepada rakyat bahawa semua pasukan keselamatan akan beroperasi dengan lebih beretika, profesional dan menghormati rumah ibadat di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, menjaga kesucian masjid bukan hanya tanggungjawab pengurusan masjid, tetapi tanggungjawab moral dan institusi negara yang terlibat.

Rumah ibadat tegasnya, mesti dihormati sepenuhnya dan tidak wajar dijadikan lokasi sebarang latihan, operasi atau simulasi keselamatan tanpa kebenaran bertulis serta penjelasan terbuka kepada pengurusan masjid dan masyarakat setempat.

Kejadian seperti itu ujarnya, harus menjadi pengajaran agar semua agensi lebih berhati-hati dalam menjalankan tugas.

Pejuang Johor katanya, berpandangan bahawa penjelasan sahaja tidak memadai sekiranya tiada langkah pembetulan yang jelas dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Kami menyeru agar isu ini ditangani dengan berhemah, terbuka dan adil demi memelihara keharmonian masyarakat serta keyakinan rakyat terhadap institusi keselamatan dan agama,” katanya.

Semalam, dalam satu sidang media, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan dakwaan anggota maritim menyerbu masjid itu hanya salah faham dan kes tersebut telah diselesaikan pihak berkuasa.

Saifuddin Nasution berkata, kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota maritim yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang dan insiden itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

Jelas Saifuddin, latihan itu dijalankan dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, Pahang dengan beberapa lokasi awam dijadikan checkpoint dan Masjid Rusila adalah satu daripada tempat persinggahan untuk tujuan menunaikan solat semata-mata.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan tersebut dengan mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran sambil memakai kasut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast