JOHOR BAHRU- Sebanyak 25 syarikat dan institusi di seluruh Johor telah diluluskan permohonan mereka untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Kelulusan itu diperoleh dalam Mesyuarat Jawatankuasa Halal Negeri Johor di bawah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang bersidang kelmarin.
Menurut kenyataan daripada Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), kelulusan itu menggambarkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh ekosistem halal yang mampan dan diyakini, seiring matlamat menjadikan Johor sebagai hab halal utama di rantau selatan.
“Antara entiti yang menerima kelulusan ialah Sekolah Agama Dato’ Ahmad serta Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di Kluang; Aftertaste Food Enterprise Sdn Bhd dan M & R Product Sdn Bhd di Kulai serta MyChef (M) Sdn Bhd di Batu Pahat.
“Turut tersenarai ialah beberapa perusahaan kotej dan syarikat makanan seperti Mommy Darling Enterprise, Ladang Amirah dan Bambijan Food Empire dari Pontian; D Elegance (Seri Alam) Sdn. Bhd., Mala House PLT (Restoran Mala House) dan Azliza Aziz Homemade Enterprise di Johor Bahru serta One D&D Enterprise, Mat Sakai Enterprise, dan Honey Pearl Empire dari Kota Tinggi,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, selain itu, Erca Wilmar Cosmetic Ingredients Malaysia Sdn Bhd di Pasir Gudang, Tokowarisan Pte Ltd di Kulai, Forte Pharma Sdn Bhd dan Pearlista Pte Ltd di Muar turut memperoleh pengiktirafan halal itu bersama-sama beberapa pengusaha kotej lain dari daerah Tangkak dan Segamat.
JAINJ menegaskan bahawa setiap permohonan disemak secara menyeluruh meliputi pemprosesan, penyediaan, kebersihan, pengurusan bahan mentah serta pematuhan prinsip syariah bagi memastikan standard halal Malaysia terus dijaga dengan ketat.
“Bahagian Pengurusan Halal JAINJ mengalu-alukan lebih banyak penyertaan syarikat kecil dan sederhana (PKS) dalam program pensijilan halal bagi meningkatkan keyakinan pengguna Muslim dan membuka laluan ke pasaran global.”- MalaysiaGazette
















