Nur Faratin.

KEPALA BATAS – Balu kepada pendaki Gunung Liang, Allahyarham Mustaqqeem Mansor, 34, yang meninggal dunia akibat hipotermia minggu lalu, menerima permohonan maaf daripada rakan suaminya yang turut serta dalam ekspedisi mendaki gunung berkenaan.

Nur Faratin Mohd Othman, 31, yang bekerja separuh masa sebagai penyelenggara penapis air berkata, hanya rakan arwah suaminya, Muhammad Hafidz Mohd Kamal, 36, menghubunginya dan memohon maaf atas kejadian yang menimpa.

“Hanya Hafidz saja WhatsApp (hantar mesej) minta maaf apa semua.. saya masa tu take time juga dan kemudian saya reda sebab dia pun sudah sedaya upaya untuk mencari arwah suami.

“Buat masa ini saya amat mengharapkan keadilan untuk arwah kerana dia begitu ambil berat rakan-rakannya dan saya yakin dia tidak akan berbuat perkara sama sekiranya berlaku pada orang lain termasuklah orang yang baru dia kenal,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Haji Abdullah Fahim, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima Faedah Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial yang disampaikan oleh Pengarah Perkeso Pulau Pinang, Rafidah Abdul Rahim.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Media sebelum ini melaporkan, Mustaqqeem ditemui meninggal dunia selepas dilaporkan hilang semasa menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser ke Gunung Liang pada minggu lalu.

Mustaqqeem ditemui meninggal dunia pada kira-kira 3.30 petang Khamis di puncak Gunung Liang selepas memulakan pendakian bersama 10 rakan-rakannya pada 10 Oktober dari Bukit Fraser, Pahang dan kali terakhir dilihat pada 14 Oktober.

Jenazah mangsa dibawa keluar dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189 oleh Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang pada 17 Oktober.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad, hasil bedah siasat di Hospital Slim River mendapati punca kematiannya akibat hipotermia atau kesejukan melampau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast