Izizam Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran meneliti dan menyelesaikan isu dalaman parti termasuk tindakan pemecatan serta penggantungan keahlian yang berlaku selepas Mesyuarat Agung Tahunan (PAT) baru-baru ini.

Timbalan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim berkata, Muhyiddin perlu mengambil pendekatan terbaik dan penuh kebijaksanaan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi.

Beliau berharap, semua pihak dapat duduk semeja bagi menyelesaikan perkara yang berbangkit demi kepentingan parti dan kesejahteraan ahli di semua peringkat.

Izizam yang juga Ketua Bahagian Bersatu Padang Besar mahu hubungan baik dan harmoni dengan Pas yang juga rakan komponen utama parti ini bagi memastikan kekukuhan Perikatan Nasional.

“Segala keputusan dan kenyataan hendaklah dibuat secara kolektif agar tidak menjejaskan persefahaman serta kesepaduan dalam gabungan PN di semua peringkat.

“Sebagai ketua bahagian, saya mengharapkan agar penyelesaian dapat dicapai dengan segera secara adil dan harmoni tanpa memberikan kelebihan kepada mana-mana pihak, demi perpaduan dan masa depan parti yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast