Gambar hiasan

KEBELAKANGAN ini negara menyaksikan peningkatan mendadak kes influenza di pelbagai negeri, termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Ramai pelajar serta pekerja terpaksa mengambil cuti kerana demam dan batuk yang berpanjangan, manakala klinik dan hospital turut melaporkan peningkatan pesakit dengan simptom selesema yang lebih teruk daripada biasa.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 97 kluster influenza telah dilaporkan dalam satu minggu sahaja, dengan majoriti kes berlaku di sekolah menengah, rendah dan tadika. Kadar konsultasi penyakit seperti influenza (ILI) juga meningkat kepada 10.56% pada Minggu Epidemiologi ke-42.

Melihat kepada situasi ini, pakar kesihatan dan doktor mengesyorkan agar orang ramai mendapatkan vaksin influenza sebagai langkah perlindungan diri dan keluarga. Malah, Kerajaan Negeri Selangor turut bercadang untuk menawarkan vaksin influenza secara percuma kepada pelajar, bagi mengurangkan risiko jangkitan serta penularan di sekolah dan institusi pendidikan.

Sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk program ini, melibatkan 12,500 pelajar di daerah berisiko tinggi seperti Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling. Namun, di sebalik pelbagai usaha meningkatkan kesedaran dan akses kepada vaksin influenza, tular sebuah video yang mencetuskan pelbagai persoalan serta keraguan dalam kalangan masyarakat. Ada yang mempersoalkan tahap keselamatan vaksin ini, malah terdapat dakwaan kononnya ia mengandungi bahan berbahaya atau tidak halal.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan mesej tular di media sosial atau aplikasi WhatsApp. Sebaliknya, mereka disarankan mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada sumber yang sahih seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebenarnya, vaksin influenza bukanlah sesuatu yang baharu. Ia telah digunakan lebih daripada 70 tahun di seluruh dunia dan terbukti selamat serta berkesan dalam mencegah jangkitan selesema bermusim, terutamanya dalam kalangan warga emas, kanak-kanak kecil, ibu mengandung, dan pesakit kronik. Semua vaksin influenza yang digunakan di Malaysia telah diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan melalui penilaian ketat oleh KKM bagi memastikan tahap keselamatan dan keberkesanan.

Proses penghasilan vaksin influenza adalah sangat terkawal dan berasaskan kajian saintifik antarabangsa. Setiap tahun, WHO akan memantau ribuan sampel virus influenza dari seluruh dunia termasuk Malaysia dan mengenal pasti jenis virus yang dijangka paling banyak menular pada musim akan datang. Proses pemilihan ini dilakukan dua kali setahun.

Virus yang dikenal pasti ini kemudiannya dihantar kepada pengeluar vaksin untuk dijadikan bahan asas penghasilan vaksin tahunan. Kebanyakan vaksin influenza di Malaysia dihasilkan menggunakan kaedah tradisional berasaskan telur ayam, di mana virus influenza dibiakkan di dalam telur yang disterilkan, kemudian dimatikan dan diproses menjadi vaksin yang selamat dan berkesan. Sebahagian kecil vaksin lain pula dihasilkan melalui kaedah cell-based, iaitu virus ditanam dalam sel kultur makmal yang telah lama digunakan dalam penyelidikan.

Sel kultur ini hanya berfungsi sebagai medium pertumbuhan virus dan tidak lagi kekal dalam produk akhir selepas proses penulenan. Ada yang menyangka vaksin ini boleh menyebabkan selesema. Hakikatnya, vaksin influenza adalah jenis vaksin tidak aktif, di mana virusnya telah dimatikan sepenuhnya. Ia tidak boleh menyebabkan jangkitan, tetapi berfungsi merangsang sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi perlindungan. Jika seseorang dijangkiti virus sebenar selepas itu, tubuhnya sudah mempunyai askar pertahanan yang bersedia untuk melawan.

Terdapat juga dakwaan kononnya vaksin influenza menggunakan teknologi mRNA seperti vaksin Covid-19. Ini tidak benar. Vaksin influenza bukan vaksin mRNA, sebaliknya dihasilkan menggunakan kaedah tradisional yang telah terbukti selamat dan berkesan selama berdekad-dekad. Satu lagi salah faham yang sering timbul ialah mengenai kandungan merkuri atau bahan pengawet iaitu thimerosal.

Vaksin influenza di Malaysia dipek dalam bentuk dos tunggal, satu picagari untuk satu individu. Oleh itu, tiada bahan pengawet diperlukan, berbeza dengan vaksin lain yang datang dalam botol berbilang dos. Maka, tiada merkuri, tiada thimerosal, dan vaksin ini selamat untuk semua, termasuk wanita hamil.

Dari sudut keagamaan, ada yang bimbang tentang penggunaan gelatin. Penting untuk difahami bahawa terdapat dua bentuk vaksin influenza di dunia iaitu vaksin semburan hidung dan vaksin suntikan. Vaksin semburan hidung (yang tidak digunakan di Malaysia) kadangkala mengandungi gelatin sebagai penstabil. Namun, vaksin suntikan yang digunakan di Malaysia tidak mengandungi gelatin dan bebas daripada unsur haiwan yang haram.

Lebih membimbangkan, jangkitan influenza bukan sahaja menjejaskan aktiviti harian, malah boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang serius seperti seperti pneumonia, radang jantung, sepsis, dan serangan jantung terutamanya dalam kalangan individu berisiko tinggi. Kajian menunjukkan risiko serangan jantung meningkat lima hingga enam kali ganda dalam tempoh satu hingga dua minggu selepas dijangkiti influenza. Warga emas pula didapati berisiko enam kali ganda maut akibat influenza berbanding individu biasa.

Kesimpulannya, vaksin influenza tidak menyebabkan penyakit dan tidak mengandungi bahan berbahaya. Sebaliknya, ia membantu melindungi diri dan keluarga daripada komplikasi selesema yang boleh membawa maut, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi. Daripada kita mempercayai mesej tular tanpa kepastian, lebih baik mendapatkan nasihat daripada doktor, farmasi, atau pusat kesihatan yang berdaftar. Ingatlah, vaksin bukan musuh, tetapi pelindung.

 Prof. Dr. Nurul Azmawati Mohamed
Profesor Perubatan dan Pakar Mikrobiologi Klinikal, 
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

 

 

Dr. Saarah Huurieyah Wan Rosli
Pensyarah Perubatan dan Pakar Mikrobiologi Klinikal
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast