JOHOR BAHRU – Polis menahan tiga lelaki dan merampas 10 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM1.3 juta selepas melakukan serbuan di sebuah kawasan perumahan di Tampoi, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, serbuan dilakukan dari pukul 6 petang hingga 10 malam sebelum menahan tiga lelaki tempatan yang sedang menjalankan urusan menjual dan membeli dadah.
“Mereka berumur antara 27 dan 42 tahun. Antara dadah yang dirampas ialah 8.16kg metilenedioksimetafetamin (MDMA), 2.4kg serbuk ekstasi, 24.7 gram (g) ketamin, 6.4g pil ekstasi dan 3.2g pil Erimin 5.
“Polis merampas peralatan dan perkakas yang digunakan seorang suspek untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Johor Baru Utara, di sini, hari ini.
Katanya, dadah dan peralatan tersebut dianggarkan bernilai RM1.3 juta dan lelaki itu telah aktif dalam pengedaran dadah menggunakan rumah tersebut sebagai pusat pemprosesan sejak April lalu.
Dua daripada suspek katanya, bekerja sebagai buruh dan pembantu kedai ditahan sedang membeli dadah daripada suspek ketiga yang bertindak sebagai pengedar.
Menurutnya, dua daripada suspek tersebut juga mempunyai lima rekod lampau babit kesalahan dadah dan jenayah.
Jelasnya, dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 35,580 penagih.
Selain itu katanya, polis merampas dua buah kereta dan sebuah motosikal daripada suspek bernilai lebih RM113,000.
Beliau menambah ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dan kini direman sehingga Rabu ini untuk bantu siasatan.
“Polis sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Kejayaan kes ini adalah hasil pengumpulan risikan dan kerjasama orang ramai.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti berkaitan dadah,” katanya.
Pihaknya menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah untuk menghubungi talian hotline Polis Daerah Johor Baru Utara 07-5563122. – MalaysiaGazette
















