Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan sempena pelancaran album tradisional terbarunya ‘Gema Bumantara’, di Pavilion Bukit Jalil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza terus mengangkat martabat muzik tradisional Melayu dengan pelancaran album terbarunya yang berjudul Gema Bumantara.

Album itu mengandungi 10 buah lagu baharu yang menampilkan kolaborasi ramai komposer dan penulis lirik ternama termasuk Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito dan Omar K.

Turut menyumbang ialah nama-nama besar seperti Shazriq Azeman, Aiman Sidek, Wan Saleh, Affan Mazlan dan Danish Norr.

Siti Nurhaliza berkata, album Gema Bumantara merupakan cinta beliau terhadap muzik tradisional dan tanda tanggungjawabnya dalam memperkasa irama warisan bangsa bagi generasi yang baharu.

“Album tradisional sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya, semoga Gema Bumantara menjadi hadiah buat semua pencinta muzik warisan dan terus mengalunkan keindahan irama Melayu kepada seluruh dunia.

Datuk Seri Siti Nurhaliza membuat persembahan sempena pelancaran album tradisional terbarunya ‘Gema Bumantara’, di Pavilion Bukit Jalil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 28 OKTOBER 2025.

“Saya juga menjadikan ini sebagai salah satu tanggungjawab saya dalam bidang seni,” ujarnya dalam kenyataan.

Tambah Siti Nurhaliza, album yang mengambil masa selama setahun untuk disiapkan itu juga turut disokong oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran (Domestik) 2.0 yang membantu karya seni tempatan dalam pasaran arus perdana.

Album terbitan bersama SN Legacy Sdn. Bhd., Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. dan Universal Music Sdn. Bhd. itu kini boleh didengarkan di semua platform digital mulai hari ini.

Edisi fizikal pula dijangka dilancarkan pada Januari 2026 bersempena Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang menandakan tiga dekad perjalanan karier penyanyi tersebut dalam industri muzik tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast