[GAMBAR FAIL] Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kompleks Bunga Raya, KLIA. Foto MALAYSIAGETTE, 26 OKTOBER 2025.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berlangsung dalam suasana terbuka, jujur dan produktif.

Katanya, pertemuan itu juga memperkukuh keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, konstruktif dan berwibawa dalam membina keamanan dan kemakmuran serantau.

Anwar turut menzahirkan penghargaan beliau terhadap komitmen Trump dalam memajukan Pelan Damai Gaza yang diharap dapat menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

“Mesej saya jelas, Palestin harus selamat, merdeka dan berdaulat.

“Malaysia tetap teguh dengan prinsip kemanusiaan sejagat, memperjuangkan keamanan yang adil dan berkekalan, memperkukuh solidariti ASEAN, serta mengangkat martabat Malaysia sebagai jambatan ke arah dunia yang aman, makmur dan bermaruah,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial, malam ini.

Tambah Anwar, Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand merupakan satu pencapaian bersejarah yang menyerlahkan peranan Malaysia sebagai pemangkin diplomasi damai ASEAN serta lambang kesepaduan rantau dalam menjunjung keamanan dan kestabilan. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast