Projek menaik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya di Johor Bahru siap dengan kos RM41 juta.

JOHOR BAHRU – Baki kerja-kerja menaik taraf jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya, di sini, dengan kos RM41 juta sudah siap sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, projek tersebut yang melibatkan jarak 2.2 kilometer siap pada Ogos lalu dan diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), semalam.

“Projek ini melibatkan naik taraf jalan utama daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala. Kos jalan ini diperuntukkan kerajaan negeri demi memenuhi kehendak dan kepentingan rakyat.

“Pelaksanaan inisiatif infrastruktur ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk meningkatkan kelancaran trafik, keselamatan jalan raya, dan kesejahteraan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani dokumen penyerahan projek itu kepada Pengarah Kerja Raya Johor, Ir Zainal Tumian selaku Pegawai Penguasa Projek (PP) di jalan berkenaan, semalam.

Mohamad Fazli berkata, projek itu akan memberikan impak positif yang signifikan kepada penduduk setempat dan semua pengguna jalan raya.

Ini kerana katanya, Jalan Taman Kempas Utama menghala ke Kampung Maju Jaya merupakan antara laluan utama dari bandar raya ini menghala ke Saleng.

Beliau berkata, projek menaik taraf itu sepatutnya siap lebih awal pada Februari 2020 selepas menerima milik tapak pada Februari 2018.

Namun katanya, ia dilanjutkan sehingga Oktober 2021 atas beberapa faktor kelewatan dan sebab seperti pengambilan balik tanah, perubahan reka bentuk dan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Setelah berakhir tahun tersebut, kontraktor terdahulu gagal menyiapkan projek seperti mana yang telah ditetapkan, katanya.

“Beberapa kaedah telah difikirkan dan dibincangkan dalam mesyuarat pemantauan, termasuk memberikan tempoh berdenda selama lebih 518 hari,

“Maka jalan terbaik adalah kita tamatkan kontrak berdasarkan kepada klausa dan syarat-syarat kontrak dengan mengeluarkan notis penamatan pada 12 Mac 2023,” katanya . – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast