MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesan sebuah premis menjual daging sejuk beku di Taman Ayer Keroh Permai di sini tanpa memiliki sijil pensijilan halal Malaysia yang sah.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan mendapati, syarikat berkenaan menggunakan perkataan halal pada papan tanda perniagaan.
Sedangkan menurutnya, premis berkenaan bukanlah pemegang Sijil Halal Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Sebaliknya, siasatan lanjut mendapati premis berkenaan hanya menjual produk daging sejuk beku yang diimport dari Jepun dan Australia yang mempunyai sijil halal dari negara asal masing-masing.
“Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pernah menegur premis ini kerana melakukan kesalahan sama pada 2023 namun ianya masih berlaku ketika diserbu hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, operasi dijalankan turut melibatkan pegawai dan anggota dari Bahagian Pengurusan Halal JAIM.
Mengulas lanjut Mohd Hazimin berkata, JAIM juga telah mengarahkan syarikat berkenaan menurunkan atau memadam perkataan halal pada papan tanda perniagaan dalam tempoh tiga hari dari tarikh siasatan dijalankan.
“Selain itu, pihak syarikat juga diminta memadam sebarang paparan logo atau perkataan halal yang digunakan dalam media sosial dan platform digital mereka dengan segera.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, pekerja Islam di situ mengakui syarikat tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan hanya mengambil produk halal dari pembekal luar untuk dijual semula,” katanya.

Katanya, JAIM turut menasihatkan syarikat berkenaan supaya membuat permohonan rasmi SPHM sekiranya ingin menggunakan perkataan atau logo tersebut pada masa akan datang.
Mohd Hazimin berkata, pihaknya turut mengambil tindakan selepas mendapati premis sama menggunakan alat timbang elektronik tanpa jenama dan tidak ditentusahkan bagi tujuan perdagangan.
“Premis juga dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat representasi atau perbuatan yang memperdayakan atau mengelirukan bahawa makanan itu adalah halal.
“Tindakan diambil di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. – MalaysiaGazette
















