JOHOR BAHRU – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menolak sebarang agenda liberalisasi dalam Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh menjejaskan hak istimewa pendidikan bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, KPT dan pihak pengurusan UiTM juga perlu menilai semula dasar kemasukan dan biasiswa agar benar-benar membantu pelajar daripada keluarga B40.
“KPT dan UiTM pada masa sama diseru mengembalikan roh perjuangan asal UiTM sebagai institusi milik bangsa yang menjadi pemangkin perubahan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Dakwanya, seruan itu dibuat kerana melihat hala tuju dan peranan asal UiTM kini dilihat semakin lari daripada objektif penubuhannya iaitu untuk memperkasa pendidikan dan peluang sosial-ekonomi Melayu serta bumiputera khususnya B40.
Jelasnya, UiTM wujud atas semangat perjuangan bangsa untuk mengangkat martabat anak Melayu dan bumiputera melalui pendidikan tinggi, membuka ruang ke arah mobiliti sosial dan melahirkan generasi berilmu yang mampu bersaing secara bermaruah.
“Namun kebelakangan ini, terdapat kebimbangan dalam kalangan rakyat bahawa UiTM mula kehilangan fokus terhadap golongan yang paling memerlukan bantuan iaitu anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.
“Pejuang Johor menegaskan dasar, kemasukan dan program UiTM mesti terus berpaksikan perjuangan membela anak Melayu dan bumiputera B40, bukannya mengejar imej komersial atau mengecilkan ruang untuk pelajar susah yang masih bergelut mendapatkan peluang pendidikan,” katanya.
Suraya menambah, UiTM bukan sekadar universiti tetapi lambang perjuangan, harapan dan masa depan bangsa.
“Pejuang Johor akan terus memperjuangkan agar UiTM kekal sebagai benteng memperkasakan anak bangsa, bukan medan percubaan dasar-dasar yang meminggirkan golongan susah,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















