SHAH ALAM – Kira-kira 2.42 hektar (6 ekar) hutan di Jalan Pulau Angsa U10/2, Taman Perdana Heights, Puncak Perdana di sini terbakar petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.15 petang sebelum mengerahkan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tempat kejadian.
“Setibanya di lokasi 12 minit kemudian, komander operasi mendapati kawasan seluas 0.8 hektar telah terbakar dan kerja-kerja pemadaman segera dilakukan dengan bantuan BBP Kapar dan Sungai Buloh.
“Dengan kekuatan 18 pegawai dan anggota, api berjaya dikawal pada 6.05 petang meliputi 80 peratus kawasan kebakaran dan siasatan terkini pada 6.30 tadi mendapati kemusnahan meliputi kawasan seluas 2.4 hektar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata kerja-kerja pemadaman masih diteruskan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kebakaran itu tidak merebak hingga ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Perdana.
Terdahulu, tular di media sosial video dan gambar yang memaparkan api sedang marak kawasan hutan berkenaan. — BERNAMA















