Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Sepasang pelajar universiti tempatan ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas dipercayai berkhalwat di sebuah hotel di daerah Muar.

JAINJ dalam kenyataannya memaklumkan, serbuan dijalankan sekitar jam 1 pagi semalam.

“Anggota penguat kuasa mengetuk pintu bilik lebih 15 minit namun tiada sebarang respons sebelum mendapatkan kunci pendua daripada pihak hotel bagi tujuan pemeriksaan.

“Sebaik pintu dibuka, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an berpakaian seluar pendek dan kemeja-T berada di hadapan pintu, manakala seorang wanita sebaya ditemui bersembunyi di atas katil dalam keadaan berselimut.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri dan tiada hubungan mahram,” katanya.

Difahamkan, kedua-dua individu tersebut bukan berasal dari Johor dan mengaku mengenali antara satu sama lain di universiti.

Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan memberi alasan lewat membuka pintu kerana berada di dalam tandas, manakala wanita terbabit dikatakan hanya menumpang di hotel berkenaan selepas tidak dapat kembali ke asrama.

Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.

JAINJ dalam kenyataannya menegaskan pihaknya akan terus melaksanakan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan maksiat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast