Dr Halim Mohamad bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya, hari ini.

PETALING JAYA – Sektor swasta menyarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan kurikulum baharu untuk memberikan pendidikan awal mengenai kesedaran membanteras rasuah di awal peringkat sekolah agar generasi muda bebas korupsi dan berintegriti.

Pengerusi Eksekutif Halim Mazmin Berhad, Tan Sri Dr Halim Mohamad berkata, anak-anak muda perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni tentang buruknya kesan rasuah kepada pembangunan negara dan pembentukan modal insan.

“Kami di sektor swasta, kami menekankan kalau nak turunkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI), kita perlu bermula dengan mendidik anak-anak kita di sekolah.

“Saya sarankan supaya kementerian meneliti supaya untuk adakan kurikulum di sekolah-sekolah supaya kita boleh latih dari awal, supaya mereka tahu bahawa korupsi ini tak baik.

“Jadi, apabila dia dewasa esok, dia menggalas jawatan yang tinggi, dia dah disemaikan nilai-nilai murni, tak payah kita nak bagi apa-apa.

“Seperti Jepun, mereka melatih anak-anak mereka supaya rasa malu (dengan rasuah),” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 di Hotel Sunway Resort di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Dalam pada itu, Halim juga menggesa pemain sektor swasta lain untuk berganding bahu dengan pihak berkuasa seperti SPRM bagi menjayakan program kesedaran banteras rasuah di negara ini.

“Nilai-nilai baik inilah dengan usahasama pihak sektor swasta harus berganding bahu dengan SPRM untuk menentukan hal tujuh mereka, Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast