KUALA LUMPUR – Perbuatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengugut wartawan, hanya kerana bertanyakan soalan kepadanya, jelas menunjukkan keangkuhan, tidak terbuka dan seolah-olahnya dia sentiasa betul dalam semua perkara.
Pemerhati politik, Shahbudin Husin berkata, tindakan itu wajar dikutuk kerana ia bertentangan dengan konsep Malaysia Madani yang dibawa oleh perdana menteri.
Menurut beliau, Kor Ming sepatutnya hanya menjawab dan menjelaskan dengan baik pertanyaan wartawan berkenaan, bukan diiringi dengan ugutan untuk menghubungi ketua pengarangnya.
“Kerja wartawan bertanyakan soalan dan kerja menteri pula menjawab dan memberi penjelasan. Mengugut untuk menghubungi ketua pengarang hanya menunjukkan jiwanya yang angkuh dan telah koyak dengan soalan wartawan berkenaan.
“Kalau soalan wartawan pun dah koyak, bermakna kamu tak layak jadi menteri. Dan eloklah berhenti saja daripada terus menjadi beban kepada konsep Malaysia Madani yang diperjuangkan oleh perdana menteri,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Kor Ming semasa majlis prapelancaran projek “I Lite U” yang diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, baru-baru ini.
Pada sidang media itu, Kor Ming telah ditanya mengapa program tersebut menggunakan bahasa Inggeris, bukan Bahasa Kebangsaan.
Awalnya, beliau menjelaskan ia merupakan acara pelancongan, oleh itu penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.
Kor Ming kemudian menyoal wartawan berkenaan berkaitan media tempatnya bekerja dan apabila wartaran itu memberitahu beliau dari Utusan Malaysia, menteri dengan wajah serius berkata akan menghubungi ketua pengarang akhbar berkenaan berhubung soalan yang diajukan itu.
Shahbudin mendakwa, selama 60 tahun Barisan Nasional (BN) berkuasa, tidak pernah sekali pun pernah terdengar ada menteri memberi ugutan sedemikian rupa kepada wartawan.
Katanya, Tun Mahathir Mohamad yang berkuasa selama 22 tahun ketika era BN dan berdepan pelbagai kontroversi serta diasak dengan pelbagai soalan wartawan, baik daripada dalam negara mahu pun antarabangsa, juga tidak pernah memberi ugutan seperti itu.
“Apa pun soalan wartawan, ia adalah tugas menteri untuk menjawab, menjelaskan dan memberi pencerahan atas kemungkinan ada kekeliruan yang timbul. Bukankah program yang ditanya soalan oleh wartawan itu melibatkan dana kerajaan dan wartawan sudah tentu berhak bertanya soalan?
“Oleh kerana menteri dibayar gaji dengan dana rakyat, maka adalah juga kerja menteri untuk menjelaskannya dengan baik serta sopan setiap soalan yang ditanya wartawan. Kalau nak suka-suka mengugut dan memberi ancaman, jangan jadi menteri, sebaliknya bukalah syarikat sendiri.
“Kalau urus syarikat sendiri dan buat pula program dengan dana poket sendiri, barulah boleh ugut sesiapa saja dengan sesuka hati.
“Tetapi, selagi memegang jawatan menteri dan dibayar gaji melalui cukai rakyat, seseorang menteri tidak harus angkuh dan cepat koyak dengan apa juga soalan wartawan.
“Menteri dan wartawan ada peranan masing-masing dan ia harus dihormati,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















