Zamrin Hamzah

JOHOR BAHRU – Bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan sendiri tidak perlu lagi menegakkan benang basah.

Presiden Pertubuhan kebajikan Ihsan Pasir Gudang, Zamrin Hamzah berkata, adalah tidak wajar untuk membuat roadshow kerana kesalahan mereka sudah terbukti.

“Segalanya telah jelas dan bersuluh. Sekarang buat roadshow kononnya semarak yang tak marak. Kita kononnya nak kuatkan bersatu.

“Tapi dalam media sosial media macam-macam tunjuk pandai kononnya akulah yang paling pandai dalam bersatu.

“Presiden tak pandai jaga Parti. Presiden kenapa tak lantik orang itu kenapa tak lantik orang ini. Kenapa lantik (orang itu jadi ahli) Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) itu kenapa tak lantik MPT ini.

“Yang nak melantik itu Presiden parti yang memang sudah dikenal pasti memang nak bekerja dengan Parti. Takkan Presiden nak lantik sebarang orang yang akhirnya setakat kejar jawatan kerja tak buat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mereka yang patut dibuang atau digantung sudah pun diambil tindakan mengikut Perlembagaan parti.

Lembaga Disiplin Bersatu sebelum ini memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad selama satu penggal.

Tindakan itu diputuskan berhubung isu Akaun Bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti berkenaan.

Lembaga disiplin itu memaklumkan tindakan pemecatan keahlian turut dikenakan ke atas empat lagi ketua bahagian parti.

Empat lagi pemimpin akar umbi Bersatu yang turut berdepan tindakan pemecatan adalah Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya); Mohd Faizal Asmar (Pengerang); Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) serta Mohd Isa Mohd Saidi dari Bahagian Ampang.

Bagaimanapun mereka yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast