KUALA LUMPUR – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) sama sekali tidak memaksa Malaysia akur secara membuta tuli, sekali gus tidak menjejaskan kedaulatan negara seperti didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan, terdapat frasa-frasa utama seperti “mengikut undang-undang dan peraturan domestik” dan “dalam garis masa yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak” dengan jelas memberikan Malaysia ruang undang-undang dan autonomi diplomatik untuk mengurus tindakannya.
Menurutnya, peruntukan tersebut dengan jelas menekankan sebarang tindakan Malaysia hanya terpakai untuk isu yang merupakan “shared economic concern” (kebimbangan ekonomi bersama).
“Sekiranya isu tersebut tidak menjejaskan kepentingan ekonomi Malaysia, kita tiada obligasi untuk mengambil tindakan atau sekatan yang sama seperti AS. Ini adalah komitmen berasaskan kebimbangan bersama, bukan kepatuhan mutlak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan ini menjawab isu Artikel 5.1 (Tindakan Sekatan Terhadap Negara Ketiga) yang didakwa Muhyiddin memaksa Malaysia akur secara mutlak jika AS mengenakan sekatan atau langkah lain terhadap negara ketiga atas alasan keselamatan ekonomi atau keselamatan nasional kuasa besar itu.
Mengulas mengenai Artikel 3.4 (Pencegahan Pemindahan Teknologi Paksa) yang didakwa Muhyiddin melarang Malaysia mengenakan syarat pemindahan teknologi sebagai kaedah untuk menarik pelaburan AS, Tengku Zafrul berkata, artikel berkenaan bertujuan menghalang “pemindahan teknologi secara paksa”.
Jelasnya, ini adalah peruntukan standard yang wujud dalam majoriti perjanjian perdagangan yang ditandatangani oleh Malaysia untuk memastikan syarikat tidak dipaksa menyerahkan hak harta intelek (IP) yang berharga.
“Paling penting, Artikel 3.4.2 menyediakan pengecualian yang jelas. Ia membenarkan Kerajaan Malaysia, sebagai pengawal selia, untuk mengakses kod sumber, algoritma, dan teknologi proprietari lain, bagi tujuan pengawalseliaan dan perundangan yang sah.
“Ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) penyiasatan, prosiding kehakiman, penyelenggaraan infrastruktur kritikal, memastikan pematuhan undang-undang, dan memastikan kestabilan sistem kewangan (atas sebab-sebab prudential),” ujar beliau.
Tengku Zafrul selanjutnya menjelaskan, Artikel 5.2 (Kawalan Eksport Strategik) tidak akan menyebabkan Malaysia hilangan kuasa penuh atau autonomi kerana ia hanya menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam mengawal selia perdagangan strategik, selagi ia mematuhi undang-undang domestik negara ini.
tidak akan kehilangan kuasa penuh atau autonomi berhubung Artikel 5.2 (Kawalan Eksport Strategik) kerana ia hanya menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam mengawal selia perdagangan strategik, selagi ia mematuhi undang-undang domestik negara ini.
Lagipun, Malaysia mempunyai rangka kerja undang-undang melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 dan tindakan ini diambil secara konsisten untuk melindungi pengeksport dan komuniti perniagaan domestik daripada risiko sekatan sekunder.
“Ini membuktikan Malaysia telah sedia mengambil langkah proaktif untuk kekal sebagai rakan dagang yang dipercayai kepada masyarakat antarabangsa, termasuk AS,” katanya yang menjawab dakwaan Muhyiddin Artikel tersebut menyebabkan Malaysia kehilangan autonomi penuh.
Berkenaan dakwaan kedaulatan data dan kawalan ekonomi nasional Malaysia kini dikuasai AS mengikut peruntukan Artikel 5.3 (Akses Data Kastam) perjanjian tersebut, Menteri MITI ini berkata, walaupun artikel ini membenarkan AS memiliki akses kepada data kastam, akses tersebut bukanlah automatik.
Tiga perenggan di bawah artikel ini secara tegas memerlukan perkongsian data dilakukan “through its domestic regulatory process”; atau “in accordance with its domestic laws and regulation”.
“Ini bermakna sebarang perkongsian data mestilah melalui proses peraturan Kastam dan berlandaskan sepenuhnya undang-undang domestik negara,” katanya.
Tengku Zafrul turut mengulas mengenai Artikel 6.1.3 (Komitmen Pelaburan dan Perolehan) yang didakwa Muhyidin sebagai pemindahan kekayaan yang berat sebelah kerana menuntut komitmen memudahkan pelaburan AS$70 bilion (10 tahun) dan perolehan AS$150 bilion (5 tahun) oleh syarikat Malaysia ke atas AS.
Beliau menjelaskan, AS adalah sumber pelaburan terbesar bagi Malaysia dengan rekod pelaburan yang diluluskan dari AS mencatatkan RM10.4 bilion, manakala secara kumulatif sehingga 2024, rekod pelaburan dari AS adalah berjumlah RM218.2 billion setakat enam bulan pertama tahun ini.
Katanya, komitmen pelaburan dan perolehan di bawah Artikel ini tidak akan menggunakan dana kerajaan dan adalah semata-mata keputusan komersial dan perancangan perniagaan syarikat-syarikat.
Kerajaan hanya mendapatkan maklum balas daripada syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengenai perancangan perolehan sedia ada mereka dari AS, dan menyenaraikan komitmen tersebut.
“Tanpa ART sekali pun, perolehan ini akan tetap dilakukan kerana ia adalah perancangan komersial yang sedia ada. Contoh: Pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group telah diumumkan pada Mac 2025, iaitu sebelum pengumuman tarif oleh Presiden Trump,” tambah beliau.
Mengulas mengenai Artikel 6.2 (Nadir Bumi dan Sekatan Eksport), Tengku Zafrul menerangkan, Malaysia tegas mengekalkan dasar melarang eksport nadir bumi (REE) mentah untuk memastikan pembangunan industri hiliran tempatan.
Ini bermakna nilai tambah, pekerjaan berkemahiran tinggi, dan teknologi pemprosesan mesti diwujudkan dan kekal di Malaysia.
“Kita tidak akan kembali menjadi negara yang sekadar menggali dan menjual bahan mentah dengan harga murah. Pembangunan sumber strategik negara akan berlaku mengikut undang-undang Malaysia, di bumi Malaysia, dengan kawalan penuh kedaulatan negara.
“Dasar yang diamalkan bukan untuk menghalang perdagangan secara total, tetapi untuk menghalang eksport bahan mentah yang belum diproses, bagi memastikan nilai tambah berlaku di Malaysia terlebih dahulu,” ujarnya.
Menurut beliau, seperti mana sektor lain seperti minyak dan gas getah, koko, dan minyak sawit, Malaysia tidak menghalang eksport produk hiliran dan bahan yang telah diproses tetapi kita menggalakkan pembangunan aktiviti hiliran untuk memaksimumkan nilai.
Setelah diproses di dalam negara mengikut undang-undang dan piawaian Malaysia, dan selepas nilai itu dicipta di sini, barulah produk hiliran bernilai tinggi boleh dieksport sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global.
Malah, beliau menekankan, pelaksanaan fasilitasi dan semua pelaburan di bawah perjanjian ini akan sentiasa tertakluk dan dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan dasar negara.
Sebelum ini di Parlimen, Tengku Zafrul yang memberi penerangan mengenai rundingan ART berbeza sama sekali daripada rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang lain.
Ia kerana, ART adalah cukai unilateral yang dikenakan oleh AS.
Katanya, AS kekal sebagai salah satu pasaran eksport terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala pada 2024 mencatatkan RM325 bilion, dengan nilai eksport Malaysia sebanyak RM198.65 bilion.
Untuk tempoh Januari-September 2025, jumlah eksport negara pula adalah RM166.38 bilion.
Disebabkan itu, Malaysia wajib mempertahankan akses kepada pasaran kritikal AS ini dan berunding demi kepentingan nasional dan kelangsungan ekonomi negara.
Malah, tegasnya, perjanjian ini melibatkan kelangsungan punca rezeki jutaan rakyat Malaysia merentasi sektor utama (Elektrik & Elektronik, Aeroangkasa, Getah, Koko, Farmaseutikal).
Keengganan bertindak pantas akan menyebabkan jutaan rakyat Malaysia terancam hilang punca pendapatan.
Walau bagaimanapun, sepanjang proses rundingan, kerajaan berpegang teguh kepada prinsip berkecuali, menggunakan pendekatan seluruh kerajaan dan sentiasa memastikan kepentingan serta kedaulatan negara dilindungi dan dipelihara.
Kerajaan juga tegas tidak berganjak daripada pendirian melibatkan isu-isu garis merah, terutamanya Dasar Bumiputera, Dasar Perolehan Kerajaan, dan tuntutan liberalisasi ekuiti sepenuhnya dalam sektor strategik negara (seperti tenaga dan telekomunikasi).
Bahkan, Perjanjian ART ini juga mengandungi klausa yang menjamin kedaulatan negara, yang mana pelaksanaannya adalah berdasarkan kepentingan dan keselamatan ekonomi negara serta berlandaskan undang-undang dan peraturan domestik.
Hasilnya, Malaysia berjaya mendapat penurunan kadar tarif dari 25% kepada 19%, menjadikannya kadar terendah yang dikenakan kepada negara-negara ASEAN yang mempunyai lebihan dagangan dengan AS.
Malaysia juga berjaya memperoleh pengecualian daripada tarif 19% ini bagi 1,711 barisan tarif (tariff lines) ke atas produk eksport utama, termasuk minyak sawit, barangan getah, produk koko, komponen pesawat, dan farmaseutikal, yang menyumbang kolektif sehingga RM22 bilion (AS$5.2 bilion).
Jika Malaysia menolak perjanjian ini, Kerajaan AS dijangka menaikkan semula kadar tarif kepada kadar asal 24% atau kadar yang jauh lebih tinggi (30%, 40%, 50%, malah 100%). Ini secara langsung akan melumpuhkan daya saing eksport Malaysia ke pasaran AS.
Selain itu, ketidaktentuan pasaran akan menyebabkan pelabur hilang keyakinan untuk membuat pelaburan baharu atau mengembangkan operasi sedia ada di Malaysia kerana faktor kebolehramalan dan kebolehjangkaan adalah prinsip asas kepada komuniti perniagaan.
Jelas Tengku Zafrul, pelabur tidak akan memilih negara yang kelihatan teragak-agak dan tidak mengambil tindakan proaktif untuk melindungi akses pasaran eksportnya. – MalaysiaGazette















