Oleh: Dr. Muhammad Afifi Abdul Hamid
KONFLIK yang berlarutan di Sudan kini mencapai tahap yang membimbangkan apabila kumpulan Rapid Support Forces (RSF) mendakwa telah menawan bandar strategik Al-Fashir, ibu kota wilayah Darfur Utara. Serangan berskala besar yang dilancarkan sejak pertengahan Oktober ini bukan sahaja mengorbankan ratusan nyawa malah memusnahkan infrastruktur awam termasuk hospital, sekolah dan pusat bantuan kemanusiaan.
Menurut laporan antarabangsa, RSF dikatakan menerima sokongan kewangan dan logistik daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk bekalan senjata, dron dan bantuan teknikal. Dakwaan ini membawa kepada tindakan drastik kerajaan Sudan memutuskan hubungan diplomatik dengan UAE seperti dilaporkan oleh The Guardian dan AP News.
Tindakan tersebut menandakan kemuncak ketegangan hubungan dua negara Islam yang sebelum ini pernah bekerjasama dalam sektor ekonomi dan pembangunan. Walaupun UAE menafikan tuduhan campur tangan ketenteraan secara langsung, beberapa penganalisis geopolitik berpandangan bahawa sokongan tersebut berakar daripada kepentingan strategik jangka panjang UAE di rantau Laut Merah.
Laluan maritim Bab al-Mandab iaitu pintu sempit yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden menjadi nadi utama perdagangan global termasuk aliran minyak dan barangan dari Asia ke Eropah. Kawalan terhadap laluan ini memberi kelebihan besar dari segi ekonomi dan ketenteraan kepada mana-mana kuasa yang menguasainya.
Sejak perang Yaman meletus pada 2015, UAE dilihat meningkatkan pengaruhnya di sepanjang pantai Laut Merah termasuk membina pangkalan tentera di Eritrea, Somalia dan Sudan. Tindakan ini sejajar dengan strategi mereka untuk menjadi kuasa serantau utama yang mampu mengimbangi pengaruh Turkiye, Qatar dan Iran di kawasan tersebut.
Kajian oleh Stiftung Wissenschaft und Politik (SWP), German pada tahun 2020 turut memperincikan tiga ciri utama dasar luar UAE:
1. UAE melihat Ikhwanul Muslimin dan sekutunya sebagai ancaman utama kepada kestabilan politik Arab dan cenderung menyokong rejim autokratik yang menentang politik Islam.
2. UAE menolak perluasan pengaruh Iran namun dalam masa sama menganggap gerakan Islamisme Sunni seperti Ikhwanul Muslimin sebagai ancaman yang lebih besar.
3. Sejak permulaan perang Yaman, UAE secara aktif berusaha menguasai laluan maritim Laut Merah dan Bab al-Mandab sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk memantapkan kedudukan geopolitiknya di rantau Timur Tengah dan Afrika Timur.
Dalam konteks Sudan, strategi ini menjelaskan mengapa UAE memilih untuk menyokong RSF, yang diketuai oleh Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo (Hemeti), berbanding tentera Sudan (SAF) yang lebih rapat dengan kumpulan Islam politik. Bagi UAE, mengukuhkan sekutu sekular dan antipolitik Islam adalah sebahagian daripada naratif untuk mengekang pengaruh Islamisme di benua Afrika.
Namun di sebalik perebutan kuasa ini, rakyat Sudan terus menanggung derita. Di Al-Fashir sahaja, ribuan keluarga kini terperangkap tanpa bekalan makanan dan ubat-batan. Organisasi kemanusiaan seperti Médecins Sans Frontières melaporkan hospital utama di wilayah itu kini lumpuh akibat serangan udara dan kekurangan bahan asas.
Konflik ini bukan sekadar isu politik tempatan, tetapi tragedi kemanusiaan dalam dunia Islam. Ia memperlihatkan bagaimana persengketaan dalaman dan pengaruh luar boleh memecah-belahkan umat Islam hingga mengorbankan nyawa yang tidak berdosa.
Sebagai satu ummah, kecaknaan umat Islam sedunia terhadap nasib saudara mereka di Sudan amat diperlukan, bukan sekadar dalam bentuk doa tetapi melalui tekanan diplomatik, bantuan kemanusiaan dan solidariti sejagat menentang campur tangan yang memusnahkan. Keamanan di Sudan hanya dapat dicapai jika dunia Islam bersatu menolak politik kekuasaan dan menegakkan keadilan atas dasar kemanusiaan sejagat.
Penulis dari General Studies Department, CCE, Sunway College















