KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan corak jualan bersih selama empat minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak –RM884.6 juta, jauh lebih tinggi berbanding aliran keluar bersih minggu sebelumnya sebanyak –RM14.6 juta.
MBSB Research berkata, pelabur asing merupakan penjual bersih bagi kelima-lima hari dagangan minggu lalu, dengan hari Isnin mencatatkan aktiviti jualan bersih tertinggi sebanyak –RM244.0 juta, diikuti oleh hari Selasa (–RM237.2 juta), Jumaat (–RM216.0 juta), Khamis (–RM124.3 juta), dan Rabu (–RM63.2 juta).
Tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih pelaburan asing minggu lalu ialah perladangan (RM151.2 juta), teknologi (RM89.7 juta), dan telekomunikasi & media (RM5.7 juta).
Manakala tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar bersih pelaburan asing ialah perkhidmatan kewangan (–RM513.7 juta), penjagaan kesihatan (–RM192.8 juta), dan utiliti (–RM162.6 juta).
Menurutnya, pelabur institusi tempatan meneruskan corak pembelian bersih selama empat minggu berturut-turut, dengan aliran masuk berjumlah RM812.7 juta.
Manakala pelabur runcit tempatan menamatkan corak jualan bersih selama tujuh minggu berturut-turut, mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM72.0 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan secara menyeluruh minggu lalu.
Pelabur runcit dan institusi tempatan masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak +1.0% dan +15.4%, manakala pelabur asing mencatatkan peningkatan sebanyak +6.1%. – MalaysiaGazette
















