KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 koperasi dengan aset bernilai RM1.3 juta, modal syer dan yuran berjumlah RM124,176 serta perolehan RM3.3 juta didaftarkan di Parlimen Lubok Antu sehingga 31 Disember 2024.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah itu adalah sebahagian dari 3,072 koperasi dalam kalangan belia didaftarkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga 31 Disember 2024.
“Koperasi kumpulan sasar belia mencatatkan keanggotaan seramai 2.4 juta anggota dengan perolehan sebanyak RM848 juta. Manakala dari segi modal syer pula sebanyak RM264 juta.
“KUSKOP melalui SKM komited untuk terus memperkasakan gerakan koperasi berdasarkan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025 dan Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030.
“Ia bagi meningkatkan pendapatan dan menggalakkan penyertaan belia dan komuniti dalam koperasi di seluruh Malaysia termasuk di kawasan luar bandar Sarawak termasuk di Lubok Antu,” katanya pada sesi jawapan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu Roy Angau Anak Gingkoi (Lubok Antu-GPS) meminta menteri menyatakan sejauh mana kejayaan Koperasi Belia dan Koperasi Pelancongan Komuniti dalam meningkatkan pendapatan belia dan usaha untuk menggalakkan penubuhan koperasi di kawasan luar bandar Sarawak termasuk di Lubok Antu.
Selain itu, kata Ewon, bagi tujuan itu, KUSKOP menganjurkan program Inovasi Keusahawanan Belia Koperasi 2024 (IKBK’24) bagi meningkatkan tahap kesedaran belia dan siswa untuk menjadikan keusahawanan melalui koperasi sebagai salah satu kerjaya pilihan.
“KUSKOP juga menganjurkan program Asas Keusahawanan Koperasi Sekolah (AKSI) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan kolej vokasional serta memperkukuhkan peranan koperasi sekolah.
“Program penggalakan dan pembudayaan di peringkat komuniti juga disediakan melalui pendaftaran koperasi baharu dalam kalangan kumpulan sasar termasuk belia dan komuniti;
“Bantuan pembangunan dan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan SKM bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan dalam perniagaan koperasi.
“KUSKOP turut melaksanakan program memasyarakatkan orang awam tentang koperasi melalui Program Pembudayaan dan Penggalakan Koperasi,” jelasnya.
Menurut Ewon, Lubok Antu memiliki potensi besar dalam sektor pelancongan komuniti dan ekopelancongan berdasarkan kekayaan budaya, keunikan rumah panjang serta keindahan alam semula jadi.
“Bagi memperkasa koperasi bergiat aktif dalam sektor pelancongan, SKM telah melancarkan Program Jom Jelajah Koperasi 2024-2025 bagi merangsang aktiviti koperasi yang terlibat dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf.
“SKM juga melaksanakan Program Akselerasi Koperasi 2.0 Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) termasuk di Zon Sarawak.
“Ia bagi menggalakkan penubuhan koperasi oleh pengusaha homestay luar bandar yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















