KUALA LUMPUR – Malaysia mendesak agar gencatan senjata segera dilaksanakan di Sudan, tegas Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Kataya, Malaysia bersama rakan-rakan dalam komuniti antarabang turut mendesak agar Pasukan Sokongan Pantas (RSF) membuka koridor kemanusiaan supaya bantuan dan bekalan dapat disalurkan kepada penduduk El Fasher dan semua kawasan yang terjejas di wilayah Darfur.
“Malaysia bersama-sama dengan seluruh dunia, memerhati dengan penuh rasa ngeri terhadap tindakan RSF yang terus melakukan pembunuhan beramai-ramai serta mencetuskan antara krisis perpindahan dan kebuluran terbesar di dunia di Sudan.
“Skala kekejaman yang dipertontonkan amatlah menjijikkan, dan seperti yang ditunjukkan melalui imej satelit yang merakamkan darah menutupi bandar El Fasher — ia merupakan simbol noda darah terhadap seluruh kemanusiaan. Perbuatan ini sama sekali tidak dapat diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, dunia tidak boleh membenarkan kebangkitan semula pembunuhan beramai-ramai di Darfur dan membiarkan membiarkan lembaran paling gelap dalam sejarah berulang kembali. -MalaysiaGazette















