Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Sri Sanjeevan menuntut pampasan sebanyak RM1 juta daripada Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Ia berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam satu video siaran langsung di Facebook bulan lalu.

Tuntutan itu dibuat melalui firma guaman Messrs Preakas & Partners yang mewakili Sanjeevan, susulan video bertajuk #memecahdiam yang dimuat naik di akaun Facebook Chegubard pada atau sekitar 12 Oktober lepas.

Dalam surat tuntutan yang dikeluarkan, peguam, Preakas Sampunathan berkata, kenyataan yang dibuat terhadap anak guamnya adalah palsu, tidak berasas dan berniat jahat serta telah mencemarkan reputasi Sanjeevan sebagai pemimpin kanan parti.

Video berkenaan yang kini tular di media sosial dilaporkan menerima lebih 65,000 tontonan, 2,300 tanda suka dan 205 komen didakwa telah memberikan kesan negatif terhadap imej dan kredibiliti Sanjeevan.

referendum
Badrul Hisham Shaharin

Antara kandungan video itu termasuk kata-kata kesat dan tuduhan bahawa Sanjeevan kononnya mempunyai hubungan tidak wajar dengan beberapa pemimpin tertinggi parti serta mendakwa beliau mampu ‘mengawal presiden’ melalui perbelanjaan kepada pejabat tertentu.

Menurut Preakas, kenyataan seperti itu bukan sahaja menghina malah telah melampaui batas kebebasan bersuara.

“Kegagalan pihak Chegubard menarik balik kenyataannya menunjukkan niat jahat terhadap anak guam kami,” katanya.

Sanjeevan menuntut agar video tersebut dipadam serta permohonan maaf tanpa syarat dibuat dalam tempoh 48 jam selepas surat diterima.

Selain itu, pihaknya turut menuntut bayaran RM1 juta sebagai ganti rugi atas kerosakan reputasi, integriti dan kredibiliti anak guam.

Surat tuntutan itu turut memaklumkan jika tiada maklum balas memuaskan diterima, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Chegubard bagi menuntut semua yang sewajarnya termasuk ganti rugi, injunksi dan kos mahkamah.

Sanjeevan yang juga bekas Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) menegaskan, kenyataan tersebut bukan sahaja mencemar maruahnya secara peribadi malah menjejaskan imej parti di mata masyarakat.

Sehingga kini, Chegubard yang juga Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson masih belum mengeluarkan kenyataan balas rasmi berhubung perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast