Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ)

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bujang ditahan bersama seorang wanita berstatus isteri orang selepas mereka ditemui sedang tidur bersama di ruang tamu sebuah rumah di Segamat, Johor awal pagi tadi.

Serbuan dilakukan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sekitar 12.30 tengah malam susulan aduan awam mengenai kegiatan mencurigakan di kediaman dua tingkat itu.

Ketika tiba di lokasi, pintu pagar didapati terbuka manakala pintu rumah tidak berkunci. Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan pasangan berkenaan yang sedang tidur di ruang tamu bersama dua kanak-kanak dipercayai anak wanita tersebut.

Menurut sumber, wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu merupakan isteri orang dan kini dalam proses penceraian manakala lelaki terbabit juga berusia 20-an, bujang dan tinggal di rumah berkenaan bersama ibu serta adik-beradiknya.

Difahamkan, lelaki berkenaan dikatakan membantu wanita itu sejak kebelakangan ini, namun hubungan mereka menimbulkan syak apabila dilihat sering bersama hingga lewat malam.

“Pasangan itu disyaki bersekedudukan dan ditahan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.

Pasangan terbabit dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut, manakala ahli keluarga lain diminta hadir bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast