Dua warga asing ditahan cuba seludup minyak subsidi di Perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa, Semporna, Sabah. - Sumber Polis Marin Wilayah 4 Sabah.

KUALA LUMPUR – Dua warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak bersubsidi di Perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa, Semporna, Sabah ditahan pihak berkuasa, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi membanteras aktiviti penyeludupan minyak subsidi telah dilakukan oleh pihaknya pada 3 November sehingga jam 3.45 pagi semalam.

“Operasi yang dilaksanakan oleh unit Risikan Marin bersama Bot Ronda PPM Semporna itu telah berjaya merampas dua buah bot laju berserta enjin.

“Turut dirampas 112 gelen berisi minyak petrol yang cuba diseludup dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM111,277.25,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenalpasti rangkaian serta pihak yang turut terlibat dalam kegiatan ini.

Beliau berkata, PPM akan terus mempergiatkan rondaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti penyeludupan yang turut menjejaskan ekonomi dan keselamatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast