KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Pusat Tadbir Urus dan Amalan Peraturan Baik (GOVERNAN UKM) selaras dengan usaha negara menuju masa depan yang lebih telus.
Pusat tersebut ditubuhkan bagi memacu transformasi amalan institusi, mengurangkan kerenah birokrasi dan memupuk sistem yang lebih responsif serta efisien, berteraskan standard tertinggi dalam akauntabiliti, selain menyokong inisiatif nasional untuk memperkukuh tadbir urus dan kualiti perkhidmatan awam.
Naib Canselor UKM, Prof. Dr. Sufian Jusoh berkata UKM komited untuk memperkukuh dan memantapkan proses kerja institusi, menyederhanakan kerumitan sedia ada, serta memastikan prinsip ketelusan, integriti dan akauntabiliti dihayati secara konsisten.
“Langkah strategik ini bertujuan untuk membangunkan sistem yang memperkasa individu dan institusi bagi mencapai potensi penuh mereka,” katanya.
Penubuhan pusat ini juga katanya menandakan satu pencapaian penting dalam sejarah 55 tahun universiti.
Sementara itu, Pengarah GOVERNAN UKM, Dr. Ina Md Yasin berkata beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan untuk mengetuai inisiatif transformatif itu.
“Kami bertekad untuk menetapkan standard baharu kecemerlangan tadbir urus di UKM serta bekerjasama dengan institusi di seluruh negara dan antarabangsa bagi memupuk budaya integriti dan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.
Beliau yang merupakan bekas Pendaftar UKM mempunyai pengalaman yang luas dalam tadbir urus dan pengurusan organisasi.
Penubuhan GOVERNAN UKM membuktikan dedikasi UKM bukan sahaja untuk memajukan universiti, tetapi juga memainkan peranan penting dalam membina masa depan negara yang berasaskan kepercayaan, integriti dan akauntabiliti. -MalaysiaGazette















