Mahkamah memerintahkan Sarah Leo menjalani hukuman serta-merta.

GEORGE TOWN – Seorang pempengaruh media sosial dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas didapati bersalah memiliki telefon bimbit curi milik bekas teman lelakinya, pada April tahun lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi menjatuhkan hukuman itu terhadap Sarah Leo Ee May, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir perbicaraan penuh.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan dan jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara selama lapan bulan.

Dalam keputusannya, mahkamah menyatakan keterangan tertuduh hanya berbentuk penafian kosong dan rekaan semata-mata, manakala keseluruhan bukti menunjukkan tertuduh memiliki barangan curi seperti dalam pertuduhan.

Selain itu, permohonan pembelaan bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak selepas mahkamah berpendapat alasan dikemukakan termasuk tanggungjawab menjaga ibu bapa tidak dianggap sebagai keadaan khas (special circumstances) untuk membolehkan mahkamah menggunakan budi bicara menangguhkan pelaksanaan hukuman serta memerintahkan hukuman dilaksanakan serta-merta.

Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kes berkenaan melalui perbicaraan penuh dengan empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

“Walaupun tertuduh tidak disabitkan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan seperti pertuduhan asal, sabitan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan tetap merupakan kesalahan serius kerana melibatkan harta curi yang mempunyai nilai serta kepentingan kepada pemilik asal.

“Saya juga mohon hukuman yang dijatuhkan perlu bersifat pencegahan (deterrent sentence) bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengambil mudah kesalahan memiliki barangan curi.

“Hukuman seumpama itu penting untuk mencerminkan kepentingan awam dan mengelak persepsi bahawa kesalahan berkenaan boleh dipandang ringan,” katanya.

Sementara itu, dalam rayuan mitigasi, peguam Cheah Eng Soon yang mewakili tertuduh memohon hukuman diringankan dengan alasan tertuduh merupakan ibu tunggal yang menanggung seorang anak perempuan serta mempunyai ibu menghidap kanser tahap serius dan memerlukan penjagaan rapi.

Beliau turut memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kemanusiaan memandangkan tertuduh tiada rekod jenayah lampau, memberi kerjasama baik sepanjang siasatan serta menyesali perbuatannya.

Media pada 13 Jun 2024 lalu melaporkan Sarah Leo didakwa mencuri telefon bimbit bernilai RM2,000 dalam sebuah kenderaan di lot parkir hospital di sini pada 26 April, mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, selepas perbicaraan penuh, mahkamah mensabitkannya di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast