KUALA LUMPUR – Sebanyak 190 aduan mengenai perubahan pada premium produk insuran perubatan dan kesihatan (MHIT) diterima oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi BNM Link setakat ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah itu, 94 peratus atau 179 aduan telah berjaya diselesaikan oleh pihak operator insurans dan takaful (ITO).
Menurut beliau, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah interim dalam tempoh tiga tahun ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap ITO yang tidak memenuhi kehendak langkah-langkah interim untuk membantu pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium MHIT mereka.
Jelasnya, sebagai langkah kawalan sepanjang tempoh interim itu juga, pihak ITO dikehendaki mengemukakan semua maklumat yang diperlukan kepada pihak BNM untuk semakan sebelum melaksanakan pelarasan semula premium MHIT.
“BNM tidak membenarkan pihak ITO untuk melaksanakan sebarang pelarasan semula premium jika cadangan tersebut tidak mematuhi langkah interim sepenuhnya,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Hui Ying (PH-Tanjong) menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berkenaan jumlah kes syarikat insurans yang didapati melanggar interim yang dilaksanakan kerajaan untuk melindungi pemegang polisi yang mengalami perubahan pada premium produk insurans perubatan dan kesihatan, didorong oleh inflasi kos perubatan.
Tambah Hui Ying, sasaran awal yang ditetapkan terhadap langkah interim adalah 80 peratus dari pemegang polisi tidak akan mengalami pelarasan premium melebihi 10 peratus yang disebabkan oleh kos inflasi perubatan.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan data terkini, lebih daripada 90 peratus pemegang polisi mengalami pelarasan premium kurang daripada 10 peratus pada tahun pertama.
“Ini adalah pencapaian yang lebih baik dari sasaran awal yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















