Anwar.

PERMATANG PAUH – Spekulasi mengenai kemungkinan berlaku rombakan Kabinet terus menjadi tanda tanya apabila Perdana Menteri hari ini masih tidak memberikan sebarang pengesahan atau penafian berhubung perkara itu.

Sebaliknya, ketika diminta mengulas dakwaan bahawa ramai menteri bimbang hilang jawatan susulan desas-desus rombakan Kabinet yang hangat diperkatakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menjawab ringkas “Ya kah.”

Terdahulu Anwar hadir Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Madani di sini hari ini.

Masjid bernilai RM75 juta itu dijangka siap suku keempat 2027.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil sikap mengunci mulut ketika ditanya pemberita berhubung dakwaan rombakan Kabinet.

Anwar secara berseloroh meminta pihak media mengemukakan senarai nama barisan Kabinet baharu.

“Tolong beri cadangan (kepada saya) kalau ada,” katanya selepas merasmikan ucapan penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025.

Media turut melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi bayangan rombakan Kabinet akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Berucap pada Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI), Zambry mengharapkan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar untuk penganjuran festival berkenaan bagi tahun- tahun akan datang meskipun nasib beliau sebagai menteri Kabinet tidak diketahui.

“Jadi, sekali lagi saya berharap sokongan daripada Perdana Menteri yang tidak berbelah bahagi untuk tahun-tahun akan datang.

“Sama ada saya masih menjadi menteri Kabinet atau pun tidak, itu soal nombor dua. Ini adalah agenda negara.

“PM (Anwar) senyum saja bagi isyarat, sebab saya pun tak lama dua tiga minggu ja lagi,” kata Zambry. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast